Mohd Jafni berucap dalam sidang DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri.

ISKANDAR PUTERI – Pengurusan sistem parkir daripada aplikasi MBJB Spot kepada sistem Parkmax@Johor bermula awal bulan ini bukan dilakukan secara tergesa-gesa.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk menyeragamkan sistem parkir digital di seluruh negeri.

“Isu ini telah tertangguh berbelas tahun setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai sistem parkir yang berbeza hingga menimbulkan kekeliruan kepada rakyat khususnya yang bergerak merentasi kawasan PBT.

“Maka pendekatan seragam diperkenalkan agar rakyat tidak perlu lagi memuat turun pelbagai aplikasi,” katanya dalam ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bangunan Sultan Ismail hari ini.

Mohd Jafni memberitahu, sehingga kini, enam PBT sudah menggunakan aplikasi Parkmax iaitu Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Perbandaran Muar, Majlis Perbandaran Segamat, Majlis Daerah Tangkak dan Majlis Daerah Mersing.

Jelasnya, pelaksanaan akan diperluas secara berfasa dengan tempoh peralihan bagi membolehkan pengguna menghabiskan baki kredit dalam aplikasi lama.

“Prinsip kita jelas setiap pembaharuan mesti memudahkan rakyat, bukan membebankan mereka,” katanya.

Kerajaan negeri, katanya, akan mengambil sepenuhnya tanggungjawab jika ada kelemahan dan kekurangan.

Mohd Jafni berkata, sepanjang tempoh simulasi selama satu bulan bermula 1 hingga 31 Mei ini, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) tidak akan mengenakan caj parkir kepada pengguna bagi memberi ruang kepada rakyat membiasakan diri dengan sistem baharu Parkmax@JOHOR sebelum pelaksanaan penuh pada 1 Jun 2026.

Dalam masa yang sama pengguna MBJBSpot yang masih mempunyai baki kredit boleh membuat tuntutan atau pengemaskinian kredit melalui borang dalam talian atau hadir ke kaunter MBJB sehingga 31 Mei 2026.

MBJB, katanya, memberi jaminan baki kredit sedia ada tidak akan terjejas serta proses migrasi akan diselesaikan secara berfasa.

Beliau pada masa sama melahirkan rasa kecewa dengan segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang atau pengimbang yang memainkan isu tersebut.

Isu MBJB Spot, dakwanya, diputar belit seolah-olah kegagalan besar sedangkan itu merupakan proses penambahbaikan berperingkat-peringkat.

“Ini bukan lagi teguran membina ini politik murahan yang gemar membesar-besarkan perkara kecil untuk menutup usaha besar kerajaan,” ujarnya.

Tambahnya, jangan cuba dipolitikkan setiap pembaharuan hanya untuk mengalih perhatian sedangkan rakyat yang menanggung kekeliruan akibat naratif yang tidak seimbang.

“Saya ingin bertanya dengan jelas di manakah suara lantang yang sama apabila rakyat berdepan kenaikan kos sara hidup akibat pengurangan subsidi petrol dan diesel oleh kerajaan Persekutuan?

“Mengapa dalam isu yang memberi kesan harian kepada rakyat, kita tidak melihat keberanian yang sama untuk bersuara? Jangan pilih isu mengikut kepentingan politik, tetapi tinggalkan isu besar yang benar-benar menekan rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast