Dr. Sathia Prakash Nadarajan

KUALA LUMPUR – Pengelasan tier tidak boleh dijadikan penentu mutlak kemenangan sesebuah parti di kawasan Parlimen kerana ia tidak menggambarkan situasi sebenar di lapangan.

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan menegaskan, faktor sebenar yang menentukan kemenangan adalah kepercayaan rakyat, konsistensi khidmat di lapangan serta pendekatan berteraskan kemanusiaan oleh calon dan parti.

Menurutnya, analisis berasaskan data pilihan raya lalu sememangnya penting, namun ia tidak mengambil kira faktor paling kritikal dalam menentukan keputusan semasa.

“Beberapa faktor lain perlu diambil kira termasuk kekuatan calon, gerak kerja jentera dan sentimen pengundi terkini. Berdasarkan penilaian dalaman yang lebih menyeluruh, Tambun lebih tepat dikategorikan sebagai Tier 2B, bukan Tier 3,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Dr. Sathia, calon yang berwibawa serta dekat dengan rakyat mampu mengubah landskap politik di sesuatu kawasan termasuk memperkukuh kerusi marginal dan menjadikan kawasan mencabar lebih kompetitif.

Menurutnya, kewujudan kerusi yang dilihat berisiko bukanlah satu kelemahan, sebaliknya mencerminkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan parti dalam menghadapi realiti politik semasa.

“Dalam politik hari ini, kemenangan bukan bergantung kepada label tier tetapi keupayaan membaca realiti dan bekerja lebih kuat daripada pihak lawan,” katanya.

Terdahulu, berdasarkan dokumen Analisis Strategik PRU-16: Ringkasan Mengikut Tier yang dibentangkan dalam majlis perjumpaan 900 pimpinan PKR di Petaling Jaya, kerusi Tambun yang diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikategorikan sebagai Tier 2B (marginal).

Pengkelasan Tier 2B dan Tier 3 merujuk kepada kedudukan kawasan Parlimen yang berada dalam zon berisiko tinggi atau memerlukan pemulihan imej yang serius. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast