GEORGE TOWN – Sebanyak lima kotak sarang burung pungguk jelapang dipasang di Bukit Bendera di sini semalam, pada ketinggian kira-kira 2,733 kaki (833 meter) dari paras laut, sekali gus menjadikannya antara lokasi pemasangan tertinggi di Malaysia.
Pemasangan itu turut disaksikan oleh 40 pelajar menerusi Program Sehari Kesedaran STEM dan Biodiversiti, yang memberi pendedahan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara interaktif di lokasi berkenaan.
Program berkenaan dianjurkan oleh Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC) dengan kerjasama USAINS Holding Sdn Bhd dan Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Barn Owl and Rodent Research Group (BORG) USM.
Menurut Ketua Penyelidik, Shakinah Ravindran, program itu merupakan usaha berterusan bagi memperluas akses pendidikan STEM berasaskan pengalaman, selain memperkukuh usaha pemuliharaan alam sekitar.

Beliau berkata, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada Program Pemuliharaan Burung Pungguk Jelapang dan Pengurusan Perosak Secara Lestari yang dimulakan sejak Oktober 2025 dan dijadualkan berterusan sehingga penghujung tahun ini.
“Inisiatif ini mengetengahkan penggunaan burung pungguk jelapang sebagai agen kawalan biologi semula jadi bagi mengurangkan kebergantungan terhadap racun tikus berasaskan bahan kimia berbahaya, selain mengekalkan keseimbangan ekosistem dan biodiversiti di Bukit Bendera.
“Kotak sarang berkenaan bukan sahaja berfungsi sebagai infrastruktur pemuliharaan, tetapi turut dijadikan platform pembelajaran STEM secara langsung yang menghubungkan sains dengan aplikasi alam sekitar sebenar.
“Lokasi ini dipantau secara berterusan bagi menilai kadar penghunian, aktiviti pembiakan dan impak ekologi bagi memastikan usaha pemuliharaan dilaksanakan secara berasaskan data serta mampan untuk jangka panjang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada program itu, para pelajar turut didedahkan kepada konsep ekosistem, hubungan pemangsa dan mangsa, pemuliharaan biodiversiti serta pengurusan perosak lestari menerusi modul STEM interaktif, penerokaan hutan berpandu dan aktiviti lapangan di persekitaran semula jadi Bukit Bendera.
Sementara itu, wakil PHC, Dr. Yang Kok Lee berkata, usaha pemuliharaan yang digabungkan dengan program pendidikan mampu melahirkan generasi masa depan yang lebih celik sains dan peka terhadap alam sekitar.
Beliau berkata, inisiatif tersebut dijangka diperluaskan ke lebih banyak sekolah pada masa depan selain terus memperkukuh integrasi pendidikan STEM di Bukit Bendera.
“Melalui pendekatan ini, kita dapat menggabungkan penyelidikan saintifik, pemuliharaan biodiversiti dan pendidikan secara seiring,” katanya.
Program itu turut mendapat sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dan mencerminkan kerjasama pelbagai agensi dalam menggabungkan pendidikan, penyelidikan dan penglibatan komuniti. – MalaysiaGazette















