K. Yogesan bersama peguamnya di Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang bekas juruteknik terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar methamphetamine, tujuh tahun lalu.

Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah ke atas tertuduh K. Yogesan, 30, pada akhir kes pembelaan.

Dalam hujahan penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi itu berkata, keterangan pembelaan membentuk satu keadaan keraguan yang menyebabkan mahkamah tidak dapat merasakan satu keyakinan yang teguh dan berkekalan mengenai kebenaran pertuduhan.

“Mahkamah ini sudah menilai semula keseluruhan keterangan dan berpuas hati bahawa pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah mengenai tiga isu utama.

“Ia mengenai kehadiran seorang individu bernama Zulkifli dan kereta Suzuki Swift berwarna maroon miliknya di tempat kejadian; kebetulan pembungkusan plastik berwarna merah jambu yang mempunyai deskripsi hampir sama dalam dua tangkapan yang dijalankan oleh pegawai yang sama pada malam yang sama serta hasil demonstrasi fizikal dalam mahkamah yang diperhatikan dan direkodkan secara langsung oleh mahkamah ini.

“Memandangkan pihak pendakwaan gagal membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah di akhir keseluruhan kes, tertuduh didapati tidak bersalah atas pertuduhan dan dilepaskan serta dibebaskan,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan berat bersih sebanyak 105.21 gram.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Pandan, Kampung Melayu Pandan di sini, pukul 10 malam pada 28 Ogos 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang membawa hukuman gantung sampai mati atau jika tidak dihukum gantung, hendaklah penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Natasha Saharuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Selvanteran Segaran.

Seramai empat saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang prosiding perbicaraan, manakala dua saksi pembelaan termasuk tertuduh sendiri dikemukakan pada prosiding bela diri. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast