Maritim merampas minyak yang cuba diseludup bernilai RM19.55 juta selepas menahan dua bot tunda di Tanjung Bulat, Kota Tinggi, Isnin lalu.

KOTA TINGGI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas minyak yang cuba diseludup bernilai RM19.55 juta selepas menahan dua bot tunda di Tanjung Bulat di sini Isnin lalu.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, kedua-dua bot itu ditahan hasil risikan dan pemantauan berterusan pihaknya selepas mengesan pergerakan mencurigakan di laluan strategik perairan negara.

Beliau memaklumkan, bot tunda pertama ditahan pukul 10.50 malam pada kedudukan 1.5 batu nautika tenggara Tanjung Bulat manakala sebuah lagi bot ditahan 40 minit kemudian di lokasi 3.0 batu nautika tenggara kawasan sama.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua bot tunda itu berdaftar di Tanzania dan dikendalikan 10 kru warga Indonesia berusia antara 26 hingga 54 tahun.

“Siasatan awal mendapati, vesel terbabit gagal melaporkan ketibaan ketika memasuki perairan negara, sekali gus melanggar Kaedah 10 Peraturan-Peraturan Pelabuhan 1954,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemukan muatan minyak tanpa dokumen sah.

Selain itu terdapat pengubahsuaian mencurigakan pada tangki bot iaitu penggunaan tangki air kapal yang diubah suai sebagai tangki simpanan minyak dipercayai digunakan bagi tujuan aktiviti penyeludupan minyak.

Beliau memberitahu, kes disiasat bawah Akta Kastam 1967 manakala kesemua kru ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/1963 bagi membantu siasatan lanjut.

Dalam pada itu, beliau berkata, kegiatan penyeludupan di perairan negara bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mampu mengancam keselamatan maritim serta menjejaskan hasil ekonomi negara.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menjadikan perairan negara sebagai laluan aktiviti haram,” katanya.

Tambahnya, operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan khususnya di laluan strategik perairan Johor bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast