HULU TERENGGANU – Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur (FSPA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) komited dalam memperkukuh kecekapan pengurusan dan kesejahteraan warga kerjanya melalui penganjuran Sesi Lestari Pengurusan dan Staf Sokongan yang berlangsung di Tasik Kenyir Hulu Terengganu, hari ini.
Program sehari yang melibatkan seramai 40 peserta dalam kalangan pengurusan profesional dan staf sokongan itu diadakan di Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan UMT Tasik Kenyir sebagai satu inisiatif pembangunan modal insan selari dengan
aspirasi universiti.
Menurut Dr. Mohd Azman Yussoff selaku penganjur program, sesi ini bertujuan memperkukuh semangat kerja berpasukan, meningkatkan komunikasi berkesan serta memupuk nilai kebersamaan dalam suasana yang lebih santai dan kondusif di luar persekitaran pejabat.
“Penganjuran program ini bukan sahaja memberi ruang kepada staf untuk berinteraksi secara lebih terbuka, malah membantu meningkatkan motivasi serta kesejahteraan mental dan emosi warga kerja,” katanya.
Dekan FSPA, Profesor Dr. Najiah Musa turut menegaskan, pendekatan pembangunan staf secara holistik seperti ini adalah penting dalam memperkukuh budaya kerja cemerlang fakulti.
“FSPA sentiasa komited untuk membina ekosistem kerja yang harmoni, produktif dan berdaya tahan. Program seperti Sesi Lestari ini bukan sahaja mengeratkan hubungan warga kerja, tetapi turut menjadi platform penting dalam memperkasa nilai kepimpinan, kerja berpasukan dan kelestarian organisasi,” katanya.
Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk sesi perkongsian pengurusan, aktiviti interaktif berkumpulan serta aktiviti pembinaan pasukan di Pusat Penyelidikan dan Lapangan UMT, Tasik Kenyir dan Pulau Herba.
Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman ini dilihat mampu memperkukuh kefahaman terhadap peranan dan tanggungjawab masing-masing.
Pemilihan Tasik Kenyir sebagai lokasi program turut bertepatan dengan konsep kelestarian yang diketengahkan, selain menyediakan persekitaran semula jadi yang menyegarkan minda dan meningkatkan produktiviti peserta.
Penganjuran Sesi Lestari ini diharap dapat menyokong agenda pembangunan modal insan UMT secara menyeluruh, sekali gus memperkukuh keupayaan fakulti dalam mendepani cabaran masa hadapan serta meningkatkan kecemerlangan organisasi. – MalaysiaGazette
















