Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin ketika temubual pada program SKOP MG di Pejabat MalaysiaGazette, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 DISEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – UMNO Selangor memberi peringatan tegas kepada semua pihak supaya tidak sesekali mempolitikkan institusi Raja Melayu atau cuba mengheret Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke dalam polemik politik sempit yang boleh menggugat keharmonian negeri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, parti itu kekal konsisten menjunjung dan mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan daripada sebarang bentuk penghinaan, fitnah serta provokasi melampau.

Menurut beliau, UMNO Selangor menyokong penuh serta menjunjung kasih kenyataan rasmi Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor bertarikh 6 Mei lalu berhubung peranan Sultan Selangor sebagai Raja Berperlembagaan.

Katanya, kenyataan tersebut penting bagi menjelaskan kepada rakyat bahawa setiap titah, nasihat dan teguran Sultan Selangor dibuat berasaskan tanggungjawab Baginda sebagai Ketua Negeri yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan kestabilan Selangor.

“UMNO Selangor berpandangan bahawa institusi Raja bukan sekadar simbol semata-mata, tetapi merupakan sebahagian penting dalam sistem semak dan imbang bagi memastikan pentadbiran negeri sentiasa berjalan dengan penuh tanggungjawab, berintegriti dan berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua pihak perlu memahami kedudukan serta peranan Sultan Selangor menurut lunas Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor tanpa cuba menimbulkan persepsi negatif terhadap titah Baginda.

Malah katanya, UMNO Selangor sebelum ini turut tampil mempertahankan titah Sultan Selangor berkaitan isu penternakan babi yang cuba diputarbelitkan pihak tertentu selain mengecam tindakan menghina imej baginda di media sosial.

“UMNO Selangor turut mengecam tindakan biadab menyunting dan menghina imej Sultan Selangor yang jelas melampaui batas adab, budaya serta prinsip menghormati institusi Raja,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyeru semua pihak supaya lebih matang dan bertanggungjawab ketika mengeluarkan kenyataan berkaitan institusi Kesultanan serta tidak menjadikan Sultan Selangor sebagai ‘peluru politik’ demi kepentingan tertentu.

Tambahnya, tumpuan utama semua pihak seharusnya kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat, memperkukuh kestabilan negeri serta memastikan pentadbiran berjalan dengan berkesan selaras dengan semangat Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.

Rabu lalu, Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor menyangkal dakwaan segelintir pemimpin politik yang mendakwa titah Sultan Selangor mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Menerusi satu kenyataan rasmi, Dewan Diraja Selangor menegaskan titah baginda sempena pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 20 April lalu adalah selari dengan konsep Raja Berperlembagaan diamalkan di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast