Onn Hafiz ketika berucap dalam sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor sudah memberikan hak milik tanah kepada 27,429 peneroka Felda daripada 27,642 permohonan yang diterima.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jumlah berkenaan menyaksikan kadar penyelesaian bersamaan 99.23 peratus

Katanya, pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu hak milik tanah peneroka yang berlarutan sejak sekian lama.

“Kerajaan negeri memahami tanah bagi warga Felda bukan sekadar aset, tetapi lambang pengorbanan, jaminan kehidupan dan legasi yang mahu diwariskan kepada generasi akan datang.

“Syukur alhamdulillah, hasil kerjasama erat antara Pejabat Tanah dan Galian Johor, Pejabat Tanah Daerah dan Felda, sebahagian besar permohonan berjaya diselesaikan secara teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian serius terhadap isu pemilikan perumahan dalam kalangan generasi kedua Felda.

Katanya, daripada 12,392 permohonan diterima melibatkan generasi kedua Felda, 10,663 permohonan atau kira-kira 86 peratus telah diluluskan kerajaan negeri.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 7,915 pemohon telah menerima hak milik, manakala baki 2,748 pemohon yang diluluskan kini dalam proses tindakan menerusi pengeluaran Notis 5A.

“Perkembangan ini menunjukkan kerajaan negeri tidak memandang ringan isu tertunggak berkaitan pemilikan tanah dan perumahan generasi Felda,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast