Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak melambai ketika hadir ke mahkamah bagi menyambung perbicaraan kes saman sivil RM42 juta difailkan SRC International Sdn Bhd dan anak syarikat, Gandingan Mentari Sdn Bhd terhadapnya ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 06 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – SRC International Sdn Bhd membantah permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman Mahkamah Tinggi sementara rayuannya didengar berkaitan tuntutan kerugian syarikat itu berjumlah AS$1.18 bilion.

Peguam SRC, P Gananathan berhujah, kedudukan Najib sebagai bekas Perdana Menteri dan tokoh politik bukan alasan untuk beliau diberikan layanan berbeza di sisi undang-undang.

Jelasnya, pihak pembelaan juga gagal menunjukkan wujud keadaan luar biasa yang melayakkan penangguhan pelaksanaan penghakiman diberikan.

“Saya sudah meneliti afidavit difailkan dan tiada kenyataan bahawa beliau tidak mampu membayar jumlah tersebut.

“Kalau individu berkedudukan tinggi diberi layanan istimewa hanya kerana pengaruh atau jawatan mereka, maka prinsip keadilan tidak lagi sama untuk semua,” katanya pada prosiding Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Prosiding itu didengar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin yang kini bertugas di Mahkamah Rayuan.

Pada 31 Mac lalu, mahkamah memerintahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu membayar kira-kira AS$1.3 bilion kepada SRC, termasuk AS$120 juta dana berkaitan syarikat itu yang dimasukkan ke akaun peribadinya.

Gananathan berkata, alasan Najib pembayaran jumlah itu boleh menjejaskan reputasi serta kewangannya hanyalah kesan biasa yang dihadapi mana-mana defendan dalam kes penghakiman wang.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa proses penggulungan SRC akan menyukarkan wang itu dipulangkan sekiranya rayuan Najib berjaya.

Katanya, wang yang diterima pelikuidasi akan diuruskan menerusi akaun amanah SRC Group Trust di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan.

“Pelikuidasi sebagai pegawai mahkamah tertakluk kepada tanggungjawab untuk memulangkan wang tersebut sekiranya rayuan berjaya,” katanya.

Sementara itu, peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee berhujah jumlah penghakiman yang besar boleh menyebabkan kesan kewangan serius terhadap anak guamnya jika pelaksanaan diteruskan sebelum rayuan diputuskan.

Menurutnya, sekiranya pelaksanaan diteruskan, Najib mungkin terpaksa memulakan tindakan undang-undang baharu bagi mendapatkan semula aset yang mungkin sudah dilupuskan sepanjang proses penggulungan SRC.

Mahkamah menetapkan 13 Mei ini untuk keputusan permohonan penangguhan pelaksanaan penghakiman tersebut.

SRC memfailkan saman sivil terhadap Najib pada 2021 bagi menuntut semula kerugian AS$1.18 bilion yang didakwa berpunca daripada salah guna kuasa, pelanggaran fidusiari dan penyelewengan dana syarikat ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri serta Penasihat Emeritus SRC International.

Pada 31 Mac lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Najib bertanggungjawab terhadap kerugian itu dan mengarahkannya membayar kira-kira AS$1.3 bilion termasuk AS$120 juta dana berkaitan SRC yang dimasukkan ke akaun peribadinya.

Kes sivil itu berasingan daripada kes jenayah SRC membabitkan RM42 juta yang sebelum ini menyaksikan beliau dijatuhi hukuman penjara dan denda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast