KUALA LUMPUR – Politik bagi PUTRA bukan sekadar soal memerintah, ia amanah untuk membela rakyat.
Menurut presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali, parti itu akan terus membawa suara rakyat dalam isu kos sara hidup, harga barang, tekanan ekonomi keluarga, isu diesel, nasib pesawah, harga padi, masa depan generasi muda dan maruah rakyat kecil yang semakin dihimpit kehidupan.
“Negara tidak boleh terus diurus dengan slogan indah sedangkan rakyat di bawah sedang menanggung beban yang semakin berat,” katanya dalam kenyataan sempena ulang tahun ketujuh Parti Putra hari ini.
Ibrahim yang dikenali Tok Him itu berkata, sempena ulang tahun ketujuh, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli, pimpinan, jentera dan penyokong PUTRA di seluruh negara.
“Tujuh tahun ini bukan penamat tetapi permulaan kepada perjalanan yang lebih besar.
“PUTRA akan terus menongkah arus, mempertahankan prinsip dan menjadi suara kepada rakyat yang tidak mempunyai kuasa.
Biar PUTRA belum besar dari sudut kedudukan politik tetapi jangan sesekali meremehkan kekuatan sebuah perjuangan yang dibina atas keberanian, maruah, keyakinan dan doa rakyat, katanya.
Hari ini, PUTRA mempunyai hampir 40,000 ahli berbayar RM20/RM10 seumur hidup dan telah tertubuh 64 Bahagian yang memenuhi syarat ROS daripada 129 Bahagian yang diluluskan.
PUTRA juga telah memohon untuk menjadi ahli Perikatan Nasional.
Sebelum ini, PUTRA bersama IPR, sebuah gabungan longgar parti-parti politik di luar kerajaan dan di luar PN yang diasaskan oleh YB Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam pada itu, Ibrahim berkata,PUTRA tidak mahu hidup sebagai alat kepada mana-mana kuasa besar.
PUTRA tidak mahu menjadi suara yang berubah mengikut kedudukan politik. PUTRA tidak mahu menjual prinsip hanya untuk berada hampir dengan kuasa.
“Sejak awal, saya konsisten dengan pendirian bahawa politik mesti mempunyai sempadan moral.
“Prinsip ‘No DAP’ yang saya pegang bukan slogan pilihan raya tetapi pendirian perjuangan yang tidak berubah mengikut musim kuasa,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















