KUALA LUMPUR – Titah Sultan Selangor berhubung pertambahan bilangan asnaf fakir dan miskin di negeri itu menegaskan bahawa isu kemiskinan gagal ditangani dengan bertanggungjawab oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, apatah lagi dalam suasana ketidaktentuan ekonomi hari ini, lantas Sulyan Selangor memberi pencerahan bahawa status asnaf ditentukan melalui pengiraan had kifayah iaitu garis kecukupan minimum bagi keperluan asasi individu dan tanggungannya berdasarkan kos sara hidup semasa.
Ujarnya, realiti itu sama sekali tidak selari dengan maklum balas Menteri Besar Selangor kepada Perdana Menteri pada minggu lalu, bahawa kemiskinan tegar di Selangor telah dinoktahkan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan yang berkesan.
“Sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan meneliti setiap laporan dengan lebih terperinci bagi menggubal perancangan dan langkah intervensi yang strategik.
“Kenyataan yang tidak tepat akan membentuk persepsi yang salah dalam masyarakat seterusnya menghasilkan sebuah perancangan yang tidak bertepatan dengan realiti semasa,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan masih terdapat golongan fakir dan miskin di negeri itu walaupun wujud dakwaan kononnya kemiskinan tegar telah dihapuskan sepenuhnya.
Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, baginda tidak mahu masyarakat keliru atau tersalah tafsir sehingga menganggap tiada lagi individu memerlukan bantuan zakat di Selangor.
Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, data pentadbiran dari Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa masih ramai rakyat yang hidup susah dan miskin tegar.
Pada tahun 2024, ujarnya, terdapat 21,997 ketua isi rumah berdaftar dengan eKasih, bukannya sifar, sekali gus menunjukkan masih ramai keluarga di Selangor hidup susah.
Malah, menurut beliau, bilangan itu telah bertambah berbanding tahun 2023 (17,485 ketua isi rumah).
“Selain itu, bilangan penerima bantuan kewangan JKM di Selangor juga masih ramai; 59,731 orang pada tahun 2024. Adakah ini menunjukkan sudah tiada orang miskin di Selangor?” soalnya.
Sehubungan itu, tambah beliau, keterujaan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengumumkan peratusan sifar atau noktah adalah sangat tidak tepat, sekali gus memperlihatkan sifat ‘denial syndrome’ kerajaan negeri hari ini. – MalaysiaGazette
















