Datuk Rizal Rickman Ramli.

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Rizal Rickman Ramli sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan (PGCE) yang baharu berikutan persaraan Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Rizal Rickman yang kini merupakan Timbalan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan, akan memegang peranan sebagai Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, sebelum pelantikan rasmi beliau sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB yang baharu berkuat kuasa pada 1 Julai 2026.

PNB dalam satu kenyataan memaklumkan, Rizal Rickman membawa lebih daripada lapan tahun pengalaman kepimpinan progresif di PNB, termasuk mengetuai bahagian Hartanah, Pasaran Persendirian, Pelaburan Strategik dan Pengurusan Pengawasan Pelaburan, dan terkini sebagai Timbalan PGCE, di mana beliau bertanggung jawab di atas keseluruhan strategi dan operasi Kumpulan.

Katanya, sebelum menyertai PNB pada tahun 2018, Rizal Rickman pernah memegang jawatan “Country Managing Partner” Malaysia di firma perundingan global, Boston Consulting Group.

Ujarnya, beliau membawa pengalaman luas dalam strategi, pengurusan portfolio dan pelaburan, dengan ciri kepimpinan yang kukuh serta pemahaman menyeluruh terhadap misi, nilai dan Agenda Nasional serta Bumiputera PNB.

“Lembaga Pengarah PNB mengalu-alukan pelantikan Rizal Rickman, yang mencerminkan kejayaan pelaksanaan perancangan penggantian dalaman PNB yang berkesan.

“Pelantikan Rizal Rickman akan memastikan kesinambungan dan kestabilan kepimpinan ketika PNB terus melangkah kukuh bagi merealisasikan Pelan Strategik LEAP-6 serta merangka pertumbuhan masa depan sejajar dengan matlamat PNB untuk memperkasa kehidupan kewangan rakyat Malaysia merentas generasi,” katanya.

Sementara itu, kenyataan itu menambah, Lembaga Pengarah, pihak pengurusan dan warga kerja PNB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Abdul Rahman atas sumbangan beliau yang amat bernilai sepanjang lima tahun bersama PNB merentasi dua tempoh perkhidmatan.

Ujarnya, kepimpinan dan komitmen beliau telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh fokus strategik PNB serta pelaksanaannya, di samping memperteguh budaya kecemerlangan organisasi.

Abdul Rahman akan bersara daripada semua jawatan eksekutif setelah tamat kontrak dua tahun beliau bersama PNB, selepas kerjaya korporat yang cemerlang selama lebih 25 tahun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di beberapa syarikat terkemuka Malaysia, termasuk CIMB Group Holdings Bhd, Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas), Media Prima Bhd dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

Tarikh akhir bekerja beliau secara rasmi adalah pada 31 Mei ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast