Onn Hafiz ketika berucap dalam sesi perbahasan di sidang DUN, Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 358 projek bawah pelaksanaan Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) diluluskan di seluruh Johor bagi 2026 melibatkan peruntukan RM43.5 juta.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kelulusan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan isu rakyat di peringkat akar umbi dapat diselesaikan dengan lebih cepat, tersusun dan berfokus.

Menurut beliau, MTD merupakan platform penting kerajaan negeri untuk mengenal pasti, menyelaras dan mempercepat penyelesaian pelbagai isu rakyat khususnya yang melibatkan infrastruktur asas serta kemudahan awam.

“Melalui MTD, pendekatan kerajaan negeri adalah jelas. Kita bukan sekadar mengenal pasti masalah, tetapi mencari jalan penyelesaian berdasarkan kemampuan dan bidang kuasa yang ada.

“Apa yang mampu diselesaikan di peringkat negeri, kita laksanakan sebaik mungkin tanpa berlengah dan tanpa menunggu terlalu lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Daripada jumlah projek yang diluluskan tahun ini, sebanyak 153 projek sedang dalam pelaksanaan, manakala 11 projek telah siap sepenuhnya.

Selebihnya kini berada di peringkat prapelaksanaan, termasuk penyelarasan teknikal di lapangan.

Projek-projek tersebut merangkumi pelbagai keperluan asas rakyat seperti naik taraf sistem perparitan, pembaikan jalan dan jambatan, pemasangan lampu jalan, kemudahan awam serta infrastruktur komuniti.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, pelaksanaan MTD membuktikan kerajaan negeri bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan berskala besar, tetapi mengambil serius isu harian rakyat yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast