KUALA LUMPUR – Selepas menggerakkan siri jelajah `Reset’ di beberapa negeri, bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin kini tampil memperkenalkan pula istilah baharu dikenali sebagai “Konsensus Nasional Baharu” yang dilihat menjadi naratif terbaharu gerakan perubahan dibawanya.
Menurut beliau, gerakan `Reset’ sebelum ini telah digerakkan di Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan Sabah sebelum diteruskan ke Selangor sebagai usaha memperluaskan gelombang sokongan rakyat terhadap agenda perubahan nasional.
“Inilah asas kepada Konsensus Nasional Baharu – sebuah kesepakatan yang melangkaui politik kepartian, kesepakatan yang berteraskan nilai dan integriti serta kesepakatan demi masa depan bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Hamzah berkata, `Reset’ bukan sekadar program politik biasa, sebaliknya merupakan “calling movement” atau gerakan seruan rakyat untuk bangkit melakukan perubahan menyeluruh demi masa depan negara.
“Ia merupakan seruan kepada seluruh rakyat untuk bangkit melakukan perubahan,” katanya.
Beliau berkata, gerakan tersebut dibina berasaskan prinsip amal makruf nahi mungkar dengan berpaksikan tiga teras utama iaitu “Matlamat Bersama, Kemakmuran Bersama dan Tatakelola Adil & Berperikemanusian.”
Menurutnya, keperluan kepada `Reset’ kini semakin mendesak apabila rakyat dilihat semakin dahagakan pembaharuan menyeluruh termasuk usaha membina semula keyakinan terhadap kepimpinan negara.
“RESET penting kerana kita mahukan pembaharuan menyeluruh – bagi membina semula keyakinan rakyat, bagi memulihkan kembali maruah negara dan memastikan keadilan dapat diberi serta dirasai semua lapisan masyarakat,” katanya lagi.
Hamzah turut menegaskan gerakan itu bukan milik mana-mana parti politik semata-mata, sebaliknya digerakkan atas semangat kebersamaan rakyat pelbagai latar belakang.
“RESET adalah gerakan rakyat. RESET adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Pada Februari lalu, seramai 17 pemimpin Bersatu dipecat keahlian mereka oleh Lembaga Disiplin parti itu termasuk Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut, selain Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Kapten Azahari Hasan dan Fathul Huzir Ayob.
Turut dipecat ialah dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Dr Mohd Yadzil Yaakub, selain sembilan ketua bahagian Bersatu termasuk Mohd Hassundi Hamzah, Yunus Nurdin, Datuk Abdul Aziz Ismail, Ahmad Nasir Mid, Ahmad Ishak, Kamaruddin Majid, Datuk Zulkifli Bujang, Ramlan Meon dan Mohd Yunus Mohd Yusop.
Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah, Nabila Norsahar serta Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim turut menerima nasib sama apabila dipecat daripada parti itu. – MalaysiaGazette
















