HSA Johor Bahru

ISKANDAR PUTERI – Adakah peruntukan RM500 juta untuk Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang diumumkan Perdana Menteri pada September 2023 hanya ‘gula-gula politik’ semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai?

Persoalan tersebut dilontarkan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Syafiq Aziz terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat janji tersebut ketika itu.

Beliau mendakwa, peruntukan untuk pembangunan bangunan blok serta pembinaan parkir bertingkat di HSA, Johor Bahru itu sehingga kini amat lambat walaupun sudah tiga tahun berlalu.

Syafiq berkata, pertanyaan itu cuba dijawab Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon tetapi penjelasannya tidak menjawab isu sebenar berkenaan peruntukan tersebut.

“Exco tidak menjawab pertanyaan sebaliknya apa yang dijawab hanya peruntukan kerajaan negeri beri RM42.139 juta bagi menyokong sektor kesihatan tapi ini tidak menjawab isu peruntukan RM500 juta itu.

“Pengumuan ini dibuat semasa PRK Parlimen Pulai, jadi adakah ini hanya gula-gula politik, ‘gula-gula pilihan raya’ yang tak turun atau yang dapat hanya plastik gula-gula, gula-gula takda. Kena jawab,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Kelmarin Tian Soon melahirkan rasa kesal kerana isu peruntukan HSA dipolitikkan susulan beberapa ahli Bersatu termasuk Syafiq sehingga mengadakan sidang media di hadapan HSA.

Mengulas lanjut, Syafiq berkata, Tian Soon tidak sewajarnya menuduh beliau cuba mempolitikkan isu tersebut sedangkan isu berkenaan adalah besar dan bukan masalah picisan yang disuarakan rakyat.

Katanya, apa yang dipersoalkan adalah mengapa mengambil masa yang lama untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf bangunan blok serta pembinaan parkir bertingkat.

Jelasnya, keperluan untuk menaik taraf infrastruktur tersebut amat mendesak kerana kemudahan sedia ada sangat daif.

Tambahnya, jika Tian Soon tidak dapat menjawabnya dalam sidang DUN, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng itu boleh memberi penjelasan di luar DUN.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast