Pengurusan UM bersama mahasiswa dan pengiring bergambar sebelum berlepas.

 

KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya, seramai 12 mahasiswa orang kurang upaya (OKU) dari Universiti Malaya melakar sejarah apabila menyertai Program Mobiliti Outbound Jangka Pendek INCLUDE Siri I (International & Inclusive Learning for Diverse Excellence) di Universitas Multimedia Nusantara, Indonesia.

Lebih daripada sekadar program mobiliti, INCLUDE muncul sebagai titik perubahan dan membuka lembaran baharu dalam pendidikan inklusif apabila ia direka khusus untuk mahasiswa OKU.

Sepanjang lima hari yang penuh bermakna (5 hingga 9 Mei 2026), para peserta menyelami pengalaman pembelajaran berasaskan deria yang unik dan mendalam, merangkumi bengkel masakan, kraftangan tradisional, sesi podcast bersama Fakulti Ilmu Komunikasi UMN, serta pengalaman eksklusif “Bioskop Bisik”.

Program ini bukan sekadar perjalanan ke luar negara, ia adalah perjalanan melangkaui batas diri.

Dengan penyertaan pelajar OKU penglihatan daripada pelbagai latar keupayaan, INCLUDE membuka ruang untuk mereka meneroka dunia baharu, membina keyakinan dalam suasana antarabangsa, dan mengasah kemahiran global secara inklusif.

Sokongan rakan “buddies” serta pegawai pengiring turut memastikan setiap detik pengalaman ini inklusif, selamat dan bermakna.

Peserta didedahkan kepada pelbagai aktiviti interaktif yang merangsang deria daripada “sensory play” menggunakan herba dan rempah Indonesia, kelas memasak, seni terapi, hingga ke sesi podcast yang memberi suara kepada perspektif mereka.

Pengalaman “bioskop bisik” pula menjadi kemuncak unik, membawa dimensi baharu kepada dunia sinematik bagi peserta OKU penglihatan.

Aktiviti budaya seperti anyaman pandan dan permainan tradisional turut memperkayakan pengalaman silang budaya mereka.

Menurut Rafiza Hashim, Pengarah Pusat Mobiliti Global (GMC), pelaksanaan program INCLUDE ini selaras dengan hasrat Universiti Malaya untuk memastikan setiap pelajar Ijazah Pertama berpeluang mengikuti program mobiliti outbound sekurang-kurangnya sekali sepanjang pengajian.

Inisiatif ini turut membuktikan pelajar OKU diberikan peluang yang setara dengan penuntut lain.

Program ini terhasil daripada kerjasama strategik antara dua portfolio iaitu Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) dan Portfolio Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) yang menyaksikan Pusat Mobiliti Global (GMC) selaku penganjur utama bersama Pusat Kaunseling & Disabiliti (CCDE), Kolej Kediaman 7, serta ASEAN University Network–Disability and Public Policy Network (AUN-DPPNet).

Usaha bersama ini membuktikan, pendidikan berkualiti tidak mengenal sempadan, dan peluang tanpa ragu adalah hak semua. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast