KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mempergiatkan usaha penguatkuasaan dalam sektor perkhidmatan yang didominasi warga asing menerusi serbuan bersepadu di Menara Paragon, Cyberjaya pada Selasa lalu.
Operasi bermula jam 9 malam itu melibatkan seramai 83 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan JIM bersama 15 pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pemeriksaan tertumpu kepada premis menjual makanan, kios, pusat jualan dan premis perniagaan yang disyaki menggaji serta melindungi warga asing tanpa kebenaran sah.
“Operasi itu dilaksanakan susulan aduan awam serta risikan selama seminggu di kawasan itu yang dipercayai menjadi hub tumpuan warga asing.
“Sebanyak 16 premis telah diperiksa melibatkan 105 warga asing dan 89 warganegara tempatan.
“Hasil pemeriksaan, 13 warga asing terdiri daripada warga Sudan, India, Pakistan, Nepal, Myanmar dan Indonesia berusia antara 26 hingga 35 tahun ditahan.
“Mereka dikesan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihaknya turut mengeluarkan satu Borang 29 saman kepada saksi melibatkan seorang warga Malaysia bagi membantu siasatan.
Katanya, kesemua warga asing yang ditahan telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa atau menyalahgunakan pas di negara ini.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















