JAKARTA – Seramai tiga pendaki termasuk dua warga asing maut, manakala 10 lagi dikhuatiri hilang selepas Gunung Dukono di pulau Halmahera, timur Indonesia, meletus awal pagi hari ini.
Letusan itu turut memuntahkan awan abu setinggi kira-kira 10 kilometer ke udara, menurut ketua polis tempatan seperti dipetik laporan AFP.
“Terdapat tiga kematian, dua warga asing dan seorang penduduk Pulau Ternate” di timur Indonesia, kata ketua polis daerah Halmahera Utara, Erlichson Pasaribu, kepada Kompas TV.
Menurut Erlichson, tujuh individu berjaya turun dengan selamat, namun 10 lagi masih hilang di kawasan yang telah diisytiharkan larangan kepada pengunjung bulan lalu selepas saintis mengesan peningkatan aktiviti gunung berapi.
Menurut agensi mitigasi bencana Indonesia, BNPB, lima pendaki cedera dalam letusan tersebut.
“Pasukan gabungan daripada Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) dan Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) terus menjalankan operasi pencarian serta pemindahan pendaki di kawasan gunung berikutan peningkatan aktiviti gunung berapi,” kata jurucakap, Abdul Muhari dalam satu kenyataan.
Erlichson berkata, operasi menyelamat dijalankan di kawasan berbukit yang sukar dilalui dan hanya boleh diakses kenderaan sehingga sebahagian laluan di lereng gunung.
“Selebihnya, mangsa perlu diusung menggunakan pengusung. Dan masih terdapat bunyi gegaran daripada letusan itu. Ia memperlahankan operasi pemindahan kami,” katanya.
Ketua Agensi Geologi kerajaan, Lana Saria, berkata letusan awal pagi itu disertai “bunyi dentuman kuat” dan asap tebal yang menjulang kira-kira 10 kilometer dari puncak Gunung Dukono.
“Arah penyebaran abu cenderung ke utara, jadi kawasan penempatan penduduk dan Bandar Tobelo perlu berwaspada terhadap hujan abu gunung berapi,” katanya dalam satu kenyataan.
Lana menambah bahawa asap tersebut boleh membahayakan kesihatan awam serta berisiko mengganggu perkhidmatan pengangkutan. – MalaysiaGazette
















