MELAKA – Seorang murid lelaki Tahun Lima di sini retak tempurung kepala akibat terjatuh selepas tersasar ketika melakukan acara sukan lompat tinggi dalam sesi latihan sukan Sekolah, petang Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa, Muhammad Iman Ahmad Bahari, 11, dikatakan mengalami hentakan kuat di kepala sehingga mengalami muntah berulang kali sebelum dikejarkan ke hospital.
Ibunya, Norazean Ismail, 38, berkata, keadaan Muhammad Iman yang pada mulanya koma beberapa jam selepas kejadian bagaimanapun kini semakin stabil dan berada dalam pemantauan doktor di wad kanak-kanak.
Menceritakan kejadian itu, dia berkata, pihak sekolah telah mengambil tindakan sewajarnya dengan segera membawa anaknya itu ke klinik selepas mengalami muntah-muntah walaupun anaknya masih sedar selepas kejadian.
“Selepas insiden ketika latihan sukan itu, pihak sekolah ada menghubungi saya di nombor telefon lain yang ketika itu tiada bersama saya tetapi mereka sudah membawa Iman ke klinik.
“Apabila saya tiba di klinik di Duyong, Iman kelihatan lemah dan sudah lebih lima kali muntah sebelum dirujuk ke Hospital Melaka,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurutnya, keadaan anaknya ketika itu bagaimanapun semakin lemah sebelum berada dalam koma pada jam 10 malam dan hasil pemeriksaan lanjut, doktor mengesahkan anak mengalami keretakan pada kepala selain pendarahan kecil pada otak.
“Masa itu saya dan suami terlalu takut sebab dia tiba-tiba sahaja badannya lemah dan tidak sedar. Tapi mujurlah berkat doa semua, Iman kembali sedar dua jam kemudian.
“Alhamdulillah hari ini, doktor memaklumkan pendarahan itu sudah tiada dan keretakan di kepala memerlukan masa untuk pulih.
“Doktor bagaimanapun masih memantau keadaan Iman di wad kerana bimbang risiko serangan sawan,” katanya.
Mengulas mengenai kejadian itu, Norazean menegaskan, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak termasuk sekolah kerana tindakan pantas guru membantu menyelamatkan anaknya.
“Saya hormat dan bersyukur pihak sekolah sudah mengambil tindakan sewajarnya dengan membawah anak ke klinik dan menghubungi saya.
“Malah, YB Helmy (ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem) pun ada melawat anak saya dan berharap masyarakat dapat menghentikan spekulasi liar mengenai kejadian itu.
“Cuma saya mohon, mereka bantu mendoakan kesembuhan Iman,” katanya. – MalaysiaGazette
















