Pemasangan e-gate sudah siap bagi memastikan kelancaran penumpang yang menggunakan khidmat RTS Link Johor Bahru-Singapura di ICQS di Stesen Bukit Cagar, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) akan digunakan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Stesen Bukit Chagar, di sini yang mula beroperasi pada 1 Januari 2027.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, MyNIISe dijangka akan meminimumkan gangguan dan melancarkan pergerakan rakyat antara dua negara tersebut tanpa mengabaikan faktor keselamatan kedua-dua negara.

Beliau memberitahu, pengoperasian penuh MyNIISe itu serentak dengan permulaan perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura nanti.

“Gangguan yang sebelum ini kerap dilaporkan berlaku di sempadan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini susulan penggunaan sistem lama iaitu Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

“Kita sedia maklum semua pintu masuk negara guna pakai sistem berdekad usianya, pertukaran sistem daripada MyIMMs kepada MyNIISe adalah satu projek mega.

“Hakikat penggunaan sistem baharu ini bermakna gangguan dahulu akan menjadi sejarah lampau,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau kemajuan projek RTS Link Johor Bahru-Singapura di ICQS di Stesen Bukit Cagar, di sini hari ini.

Saifuddin Nasution mengakui kemungkinan berlaku gangguan teknikal kecil, namun menyifatkan itu perkara biasa.

“Ketika ini MyNIISe sudah di tahap akhir pelaksanaannya untuk ganti sistem lama yang kerap bermasalah di BSI,” katanya.

Selain itu, katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah meluluskan sebanyak 794 waran perjawatan dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menjadi komponen terbesar iaitu melibatkan 640 perjawatan.

“Selain itu, 47 perjawatan kastam manakala 107 yang lain polis. Sekarang proses pengisian sedang dibuat berperingkat dengan 478 pegawai lantikan baharu akan mula menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat bermula 22 Jun hingga 27 September ini.

“Selepas itu mereka akan mengikuti latihan operasi di BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) terlebih dahulu sebelum ditempatkan di ICQS Stesen Bukit Chagar bermula 1 Oktober ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast