Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

JOHOR BAHRU – Seorang penghantar barang didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan membabitkan kes keldai akaun, tahun lalu.

Saodah Bakar, 59, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.

Mengikut pertuduhan pilihan, wanita itu dengan secara tidak jujur menolong mengalihkan harta milik mangsa berusia 33 tahun berjumlah RM7,200 ke dalam akaun bank miliknya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Jalan Sutera Tanjung 8/2, Taman Sutera Utama, Skudai pada 21 Oktober 2025.

Bagi pertuduhan pilihan kedua, tertuduh telah didapati secara tidak jujur menolong mengalihkan harta milik seorang mangsa berjumlah RM5,400 ke dalam akaun bank miliknya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Jalan Sri Putri 12/16, Taman Putri, Kulai pada 21 dan 22 Oktober tahun lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Wanita yang bekerja sebagai penghantar barang itu memohon jaminan yang rendah memandangkan pendapatan yang tidak menentu.

Mahkamah mengenakan hukuman denda berjumlah RM1,500 bagi setiap pertuduhan dan turut diperintahkan hukuman penjara selama sebulan sekiranya tidak membayar denda itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast