BATU PAHAT – Insiden tragis murid perempuan darjah dua maut dilanggar sebuah van di hadapan sekolah di sini pada Selasa lalu perlu menjadi pengajaran dan peringatan berkenaan keselamatan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pendidikan Johor, Aznan Tamin berkata, kejadian tersebut tidak boleh dipandang ringan dan berharap tidak berulang lagi.

“Sama-sama kita mengambil iktibar daripada tragedi ini dan memperkukuhkan aspek keselamatan di kawasan sekolah demi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang lagi.

“Difahamkan, arwah baru sahaja selesai sesi persekolahan sebelum bergerak keluar dari pintu pagar sekolah.

“Dalam sekelip mata, satu kejadian yang tidak diduga telah meragut nyawa seorang anak kecil ini. Pemergian adik Nur Aini Umairah bukan sahaja meninggalkan luka mendalam buat keluarga, malah turut mengundang rasa pilu kepada seluruh warga sekolah dan masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau mengunjungi keluarga arwah Nur Aini Umairah Mohd Fareez di sini selain melakukan tinjauan di lokasi kejadian di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon di Parit Sulong, dekat sini.

Beliau diiringi pentadbir sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi melihat sendiri keadaan lokasi kejadian serta meneliti aspek keselamatan di kawasan sekolah tersebut.

Dalam kejadian pukul 12.40 tengah hari itu, murid Tahun Dua berkenaan maut dilanggar sebuah van di hadapan pintu pagar SK Seri Maimon.

Susulan itu, pemandu van berkenaan yang berusia 61 tahun ditahan dan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian.

Aznan berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh dan adil terhadap inside berkenaan.

“Difahamkan, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berhubung kematian seorang murid perempuan,” katanya.

Beliau pada masa sama merakam takziah kepada keluarga Fareez dan Asmilah atas kehilangan anak sulung mereka.

“Saya mewakili kepimpinan Kerajaan Negeri Johor doakan agar seluruh keluarga diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang amat berat ini.

“Sesungguhnya tiada yang mampu menggantikan kehilangan seorang anak, namun semoga kasih sayang dan doa daripada seluruh rakyat Johor sedikit sebanyak dapat menguatkan hati keluarga ini,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast