KUALA LUMPUR – Seorang pesara tentera berusia 84 tahun mengalami kecederaan ringan selepas kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar dua kenderaan yang diparkir di bahu jalan dalam kemalangan di Jalan 34/26 Wangsa Maju, petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.15 petang melibatkan tiga buah kenderaan iaitu Toyota Corolla Cross, Proton Saga dan Nissan Latio.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu Nissan Latio dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar dua kenderaan yang diletakkan di bahu kiri jalan sehingga menyebabkan kenderaan dipandunya terbalik.
“Pemandu Nissan Latio merupakan lelaki Melayu berumur 84 tahun dan juga pesara tentera. Mangsa mengalami kecederaan ringan serta menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu Toyota Corolla Cross iaitu lelaki berbangsa Arab berusia 36 tahun yang berada dalam kenderaan ketika kejadian, serta pemilik Proton Saga berusia 28 tahun yang tidak berada di dalam kenderaannya, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada masalah kesihatan dialami pemandu Nissan Latio yang mengalami sakit di bahagian pundi kencing sehingga menyebabkan beliau hilang kawalan terhadap kenderaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Insp Mohammad Salehuddin Musa.
Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















