Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) akan menganjurkan Konvensyen Pakatan Harapan 2026 pada 17 Mei ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

Konvensyen itu sebagai platform memperkukuh kesepaduan kepimpinan, menyelaras gerak kerja politik serta memperincikan hala tuju gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Menerusi kenyataan bersama hari ini, PH memaklumkan, konvensyen bertemakan ‘Tekad Madani, Harapan Rakyat” itu dijadual berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 6 petang dengan kehadiran pimpinan utama PH serta perwakilan dari seluruh negara.

Katanya, Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan amanat khas kepada para perwakilan bagi memperkukuh kesatuan dan kesiapsiagaan gabungan berkenaan dalam mendepani cabaran politik semasa.

Menurutnya, penganjuran konvensyen itu turut memberi fokus kepada pengukuhan ekonomi negara, kestabilan politik dan usaha meningkatkan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Madani.

Untuk rekod, kali terakhir Konvensyen Pakatan Harapan diadakan adalah pada tahun 2022.

PH berkata, penganjuran semula konvensyen berkenaan mencerminkan komitmen berterusan gabungan itu dalam memperkukuh organisasi, memperkasa agenda reformasi serta memastikan aspirasi Kerajaan Madani terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fahmi Fadzil; Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari dan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast