Polis menahan tiga lelaki warga asing dan merampas hampir 90 kilogram dadah disyaki bunga ganja bernilai lebih RM7.2 juta menerusi dua operasi berasingan di KLIA dan Kota Warisan, Sepang pada 30 April lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, seorang suspek berusia sekitar 20 tahun ditahan di terminal KLIA selepas dua bagasi mencurigakan dikesan mengandungi 29.5 kilogram bunga ganja bernilai RM2.4 juta.
Susulan siasatan lanjut, polis menyerbu sebuah premis kediaman di Kota Warisan dan menahan dua lagi suspek lelaki warga asing berusia antara 16 hingga 25 tahun serta merampas 60 kilogram bunga ganja bernilai RM4.8 juta. Semua suspek didapati positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.















