Hairul Iswandy Kadai dan Maslinawati Mohamad.

MAKKAH – Pasangan suami isteri, Hairul Iswandy Kadai dan Maslinawati Mohamad yang terpilih sebagai Sahabat Maktab bagi Musim Haji 1447H bersedia menggalas tanggungjawab membantu Lembaga Tabung Haji (TH) dalam pengurusan jemaah haji.

Hairul, 47, ketika ditemui di sini berkata, beliau memohon untuk menjadi Sahabat Maktab atas cadangan rakannya yang pernah membantu TH pada musim haji lalu.

Ditambah dengan sikapnya yang aktif dalam persatuan, kelab dan aktiviti kemasyarakatan sejak menuntut di universiti lagi, membuatkan hatinya terbuka untuk menyumbang khidmat sebagai Sahabat Maktab.

“Saya bersedia melaksanakan apa sahaja tugasan yang diamanahkan oleh TH dengan sebaik mungkin, sama ada di lapangan atau membantu jemaah di masyair, insya-Allah.

“Lagipun, saya percaya ibadah ini luas. Bukan sekadar solat, mengaji atau berzikir. Pada saya, menyumbang tenaga dengan ikhlas juga satu ibadah dan mendapat pahala. Yang penting ialah keikhlasan, itu pegangan saya,”  katanya yang bertugas sebagai penasihat undang-undang.

Ditanya pandangan beliau tentang masalah yang dialami oleh jemaah haji setakat ini, Hairul berkata: “Saya cuba juga cari kalau ada benda nak komplen, tapi Alhamdulillah so far tiada. Tidak ada benda yang saya hendak komplen. Semuanya memuaskan hati.

“Asrama okay, selesa; makanan okay, sedap. Jadi tidak ada ruang nak komplen,” katanya yang menaruh harapan agar operasi masyair nanti berjalan lancar.

Sementara itu, Maslinawati, 47, percaya suaminya mampu menjadi Sahabat Maktab dan membantu petugas TH kerana memiliki kelebihan dalam memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

Selain itu, katanya, Hairul juga sering menjadi muazin untuk solat Zohor dan Asar.

“Malah semasa di lapangan terbang pun dia sibuk membantu petugas TH memanggil jemaah haji untuk proses daftar masuk,” katanya yang turut gembira dilantik Sahabat Maktab. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast