PUTRAJAYA – Warga kota kini tidak lagi perlu keluar jauh untuk menikmati pengalaman berkhemah bersama keluarga apabila Taman Wetland Putrajaya tampil dengan tapak perkhemahan baharu yang lebih selesa dan selamat.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, tapak perkhemahan Taman Wetland Presint 13 yang dinaik taraf kini menawarkan pengalaman rekreasi dalam bandar dengan kemudahan lebih lengkap, sejajar aspirasi menjadikan Putrajaya sebagai bandar raya hijau dan berdaya huni.
“Sejumlah 48 buah khemah disediakan yang mampu menampung antara 120 hingga 200 pengunjung pada satu-satu masa.
“Ini adalah harga Rahmah yang telah kita tetapkan di mana kadar sewa ditawarkan bermula serendah RM50 bagi tempoh dua hari satu malam,” katanya kepada media.
Hannah berkata demikian selepas melancarkan tapak perkhemahan Taman Wetland itu di Presint 13, di sini hari ini.

Tambah Hannah, tapak perkhemahan berkeluasan 5,210 meter persegi itu mampu menampung antara 120 hingga 200 pengguna pada satu-satu masa.
Pengunjung turut boleh menyewa khemah serta kelengkapan lain seperti kerusi, katil dan lampu, manakala operator dilantik oleh Perbadanan Putrajaya menawarkan inisiatif “weekday discount” bagi mereka yang ingin menikmati suasana lebih tenang dan kurang sesak.
Antara kemudahan lain yang disediakan termasuk tandas, bilik mandi, surau, bekalan elektrik, kawasan parkir, dewan makan serta ruang terbuka untuk pelbagai aktiviti komuniti dan kekeluargaan.
Pengunjung juga boleh mencuba aktiviti riadah seperti ATV, berbasikal, flying fox, wall climbing, abseiling, leap of faith dan jungle trekking, selain dual zipline sepanjang 420 meter yang diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai “Longest Parallel Double Zipline” di Malaysia.
Untuk rekod, sehingga Mac lalu, bandar pentadbiran itu merekodkan kehadiran lebih enam juta pengunjung dan pelancong berbanding 4.4 juta bagi tempoh sama tahun lalu, sekali gus menunjukkan aktiviti rekreasi berasaskan alam semula jadi semakin mendapat sambutan dalam kalangan warga bandar.
Inisiatif pembangunan itu dilihat bukan hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya menitikberatkan kualiti kehidupan rakyat agar dapat menikmati masa bersama keluarga dan komuniti dalam suasana persekitaran yang sihat.
Jumlah pengunjung ke Taman Wetland Putrajaya turut menunjukkan peningkatan konsisten dalam tempoh tiga tahun, daripada 444,938 pengunjung pada 2023 kepada 473,602 pada 2024 sebelum meningkat kepada 487,371 pengunjung pada 2025. – MalaysiaGazette
















