Mohd Hisham Harun bergambar bersama Sahabat Maktab dan jemaah haji dalam majlis pelantikan Sahabat Maktab di Hotel Al Tayseer hari ini.

MAKKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) melantik 180 orang Sahabat Maktab untuk lapan penginapan di sini bagi melancarkan pengurusan jemaah haji di sini terutama menjelang operasi masyair tidak lama lagi.

Ketua Rombongan Haji TH, Mohd Hisham Harun berkata, Sahabat Maktab ini akan bersama-sama sebagai komponen penting  pengurusan jemaah pada Musim Haji 1447H.

Pelantikan ini akan dibahagikan kepada Sahabat Medik, Sahabat Ibadah dan Sahabat Hujjaj.

“Mereka ini akan membantu jemaah haji bermula daripada program-program yang diaturkan di Makkah, dan terpenting sekali semasa operasi masyair iaitu pergerakan jemaah dari maktab ke Arafah, dari Arafah ke Mudzalifah dan Mudzalifah ke Mina.

“Sahabat Maktab ini akan membantu petugas TH menempatkan jemaah kita di maktab-maktab dengan betul dan tersusun semasa menaiki bas dan sebagainya,” katanya semasa majlis pelantikan Sahabat Maktab di sini hari ini.

Mohd Hisham berkata, pada musim haji tahun ini pihaknya menerima lebih 600 permohonan dari semua maktab untuk menjadi Sahabat Maktab.

Bagaimanapun, mereka yang dipilih berdasarkan faktor umur dan kesihatan kerana Sahabat Maktab perlu cergas dari segi fizikal.

“Selain itu, mereka juga perlu mempunyai semangat kesularelawan yang tinggi kerana pelantikan ini tidak melibatkan sebarang imbuhan serta memiliki kemahiran tertentu. Contohnya Sahabat Ibadah perlulah yang mahir baca al-Quran, boleh jadi imam yang boleh membantu dari segi ibadat.

“Bagi Sahabat Medik pula terdiri daripada mereka yang berlatarbelakangkan perubatan seperti doktor atau jururawat yang boleh membantu pasukan perubatan TH di klinik maktab dan masyair,” tambah beliau.

Menurutnya, Sahabat Maktab yang dilantik pada musim haji ini dari usia 18 hingga 51 tahun. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast