KUALA LUMPUR – – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menegaskan bahawa pengeluaran Perintah Pembubaran Sementara terhadap Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dilaksanakan sepenuhnya mengikut peruntukan Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966.
Perintah itu juga dikeluarkan berdasarkan penelitian terhadap ketidakpatuhan berterusan terhadap arahan bertulis yang telah dikeluarkan jabatan itu sebelum ini.
JPPM dalam satu kenyataan berkata, tindakan tersebut diambil susulan kegagalan MTUC mematuhi arahan bertarikh 6 April lalu, khususnya berkaitan penyerahan penyata kewangan dan kunci kira-kira yang telah diaudit.
Jelasnya, ini termasuk maklumat berhubung kewangan atau harta yang diterima daripada sumber luar negara bagi tempoh 2020 hingga 2025.
“JPPM menegaskan bahawa setiap tindakan pengawalseliaan terhadap pertubuhan berdaftar dilaksanakan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Jabatan ini tidak dipengaruhi oleh sebarang kepentingan mana-mana pihak dan setiap keputusan dibuat berdasarkan penelitian dokumen, fakta serta pematuhan kepada prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Sehubungan itu, tambah JPPM, MTUC mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dalam tempoh 30 hari daripada tarikh perintah dikeluarkan.
Ujarnya, sekiranya tiada rayuan dikemukakan dalam tempoh tersebut atau rayuan ditolak, Perintah Pembubaran Sementara berkenaan akan berkuat kuasa secara muktamad selaras dengan peruntukan undang-undang.
“JPPM kekal komited melaksanakan tanggungjawab pengawalseliaan secara tegas, adil dan berintegriti bagi memastikan setiap pertubuhan berdaftar beroperasi secara teratur, telus serta mematuhi kehendak perundangan negara,” katanya. – MalaysiaGazette















