UTeM menandatangani Surat Niat bersama dengan Universiti Bioteknologi Rusia (Rosbiotech).

 

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Bioteknologi Rusia (Rosbiotech) bagi menjayakan penyelidikan pembangunan plastik terbiodegradasi untuk pembungkusan makanan dengan pensijilan halal.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, penyelidikan itu memfokuskan pembangunan bahan komposit biodegradasi berasaskan Polylactic Acid (PLA) yang diperkuatkan menggunakan sekam padi untuk aplikasi pembungkusan makanan halal.

Menurutnya, kerjasama berkenaan memberi impak besar di peringkat antarabangsa kerana selari dengan keperluan global terhadap bahan pembungkusan makanan yang mesra alam, biodegradasi dan selamat digunakan mengikut piawaian halal.

“Kerjasama ini membuka ruang perkongsian kepakaran, sumber penyelidikan, data teknikal serta kemudahan antara kedua-dua institusi bagi memperkukuh pembangunan teknologi hijau dan inovasi halal,” katanya selepas majlis menandatangani Surat Niat (LoI) antara UTeM dan Rosbiotech yang berlangsung di Tomsk, Rusia.

Melalui kerjasama itu, kedua-dua pihak turut bersetuju menjalankan penyelidikan bersama dan pembangunan modal insan menerusi program latihan, pertukaran akademik serta inisiatif penyelidikan kolaboratif.

Dalam perkembangan sama, UTeM turut menandatangani LoI bersama State University of Land Use Planning bagi memperluaskan kerjasama akademik dan
penyelidikan.

Antara bidang kerjasama dicadangkan termasuk kajian pembangunan sistem robotik untuk penuaian kelapa sawit, kerjasama makmal, mobiliti pelajar serta pertukaran staf akademik dan penyeliaan bersama.

Majlis menandatangani kedua-dua LoI berkenaan telah disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim dan turutdihadiri Timbalan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, Airat Gatiyatov.

Pada masa sama, UTeM turut bersetuju melaksanakan program dwi-ijazah dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal bersama Moscow Aviation Institute dalam usaha memperkukuh jaringan akademik antarabangsa universiti itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast