TANGKAK – Seorang wanita maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan dua motosikal di Kilometer 32, Jalan Kebun Baru-Bukit Serampang di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak menerima maklumat kejadian itu pukul 11.15 pagi melibatkan motosikal Yamaha Y15ZR merah dan Yamaha 135LC hijau.
“Akibat kemalangan tersebut menyebabkan kematian seorang iaitu wanita Melayu berusia 56 tahun manakala seorang lagi penunggang berbangsa Cina berusia 27 tahun cedera parah.
“Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Tangkak untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihaknya meminta saksi kejadian untuk tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Khairul Azmi Ibrahim 011-12445836 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette















