Nga Kor Ming menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 di Plaza Angsana Mall Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor wajar menimbangkan semula kelulusan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan yang didakwa tidak demokratik dan bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Pengerusi DAP kebangsaan, Nga Kor Ming berkata, Pakatan Harapan (PH) membantah keputusan tersebut yang jelas menjejaskan sistem demokrasi berparlimen negara.

Jelas beliau, ini kerana Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem negara demokrasi berparlimen.

“Pindaan sedemikian sebenarnya bercanggah dengan Perkara 43 Perlembagaan Pesekutuan yang jelas memperuntukkan wakil rakyat perlu dipilih oleh rakyat.

“Jelas Perlembagaan Perlembagaan adalah semua wakil rakyat wajib dipilih oleh rakyat. Tidak boleh dilantik,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Karnival Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 di pekarangan Plaza Angsana Mall Johor Bahru di sini, hari ini.

Beliau berkata, ADUN lantikan adalah seperti masuk ke dalam DUN melalui ‘pintu belakang’ dan kaedah tersebut jelas tidak demokrasi, sekali gus bimbang menjadi trend pada masa akan datang.

“(ADUN dilantik) tidak perlu berkhidmat. Tidak perlu dipilih. Namun menerima gaji dan elaun yang sama dengan ADUN atau wakil rakyat yang dipilih.

“Malah mereka yang tidak dipilih mempunyai kuasa yang sama untuk mengundi, untuk bahas, untuk bangkit isu dalam Dewan Undangan Negeri,” ujarnya yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pada masa sama katanya, PH akan mengadakan kempen mengutip tandatangan daripada orang ramai bagi membantah keputusan tersebut.

Kor Ming berkata, pihaknya menyasarkan puluhan ribu tandatangan dan tempoh kutipan itu yang akan dimaklumkan secara terperinci oleh PH Johor.

Khamis lalu, DUN Johor meluluskan rang undang-undang (RUU) pindaan berhubung cadangan mewujudkan jawatan lima ADUN lantikan dan undian untuk RUU tersebut memperoleh majoriti dua pertiga.

Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang membentangkan RUU tersebut, ia bertujuan memperluas penyertaan pelbagai golongan dalam proses penggubalan dasar negeri.

Jelasnya, langkah itu bukan bertujuan politik semata-mata, sebaliknya memberi ruang kepada individu yang mempunyai kepakaran tertentu dan pengalaman luas untuk menyumbang kepada pembangunan negeri. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast