Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan bercakap pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat dan lawatan kerja rasmi ke Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 07 JANUARI 2026

PETALING JAYA – Analisis strategik Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) Parlimen Malaysia dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mendedahkan Parlimen Sungai Buloh berisiko tinggi akan kalah adalah tidak tepat.

Penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Seri R Ramanan berkata, ini kerana sampel undian yang diambil kira dalam analisis itu tidak melibatkan jumlah keseluruhan seramai 180,000 pengundi di Parlimen itu.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia mendakwa, anggaran hanya 100 ke 200 pengundi dilibatkan dalam analisis tersebut di mana baki jumlahnya tidak dapat dikenal pasti.

“Sesetengah pihak ada pandangan sendiri, semua orang ada pandangan tetapi bagi saya sama ada pandangan di sini (tahap) dua, tiga atau satu, kerusi kita berwarna biru, jingga, kuning, atau merah, saya tidak kisah.

“Apa-apa pun semua orang ada pendapat, ada analisis. Kalau kita lihat analisis sebelum ini, tiada siapa-siapa katakan bahawa kita boleh menang jadi kerajaan. Tiada siapa-siapa katakan pihak itu, ini akan jadi pimpinan.

“Saya tidak boleh komen bab itu sebab analisis yang dibuat itu bukan bergantung kepada 180,000 penduduk yang duduk di Sungai Buloh. Ini diambil (sampel) daripada 100 atau 200 orang, yang bakinya dia main tembak. Jadi saya tidak ambil serius benda itu, bagi saya akan buat program terbaik dan kerja sebanyak mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Sumbangan Pelajar Cemerlang SPM 2025 Parlimen Sungai Buloh di Dewan Serbaguna Seksyen 7 Kota Damansara di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas pendedahkan Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier oleh PKR yang membahagikan 66 kerusi tersebut dengan tujuh kerusi diletakkan dalam Tier 1 (kuat/selamat), 13 kerusi di Tier 2A (hampir kuat), 17 kerusi di Tier 2B (marginal/kompetitif), dan 29 kerusi sebagai Tier 3 (sukar/recovery).

Dalam senarai kerusi yang dimenangi pada PRU-15, beberapa kawasan kini diletakkan dalam kategori Tier 2B (marginal), termasuk Sungai Buloh, Gombak dan Tambun yang dimenangi oleh presiden parti itu.

Mengulas lanjut, Ramanan menyerahkan kepada pengundi Sungai Buloh untuk menilai perkhidmatan yang telah dilaksanakan dengan penuh dedikasi sejak menjadi Ahli Parlimen itu pada November 2023.

“Bagi saya im service oriented, boleh nampak daripada program yang saya buat. Setiap program Parlimen, saya fokus kepada penduduk di sini, warga Sungai Buloh. Jadi khidmat saya kepada mereka, biar mereka tentukan sama ada jika kedudukan saya bagus atau tidak.

“Hari ini pun kita boleh lihat di sini 2,000 pengundi. Setiap program kita buat macam itu. Bila kita buat program bagi topi keledar itu pun 1,000 lebih. Bantuan persekolahan awal yang kita bagi 4,000 lebih.

“Jadi program-program yang kita buat memang program sentuh rakyat. Biar rakyat yang tentukan warna apa yang kita dapat. Tapi saya suka warna merah. Sebab saya Pakatan Harapan,” katanya berseloroh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast