NGA Kor Ming menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian Majlis Perasmian Karnival Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 di Plaza Angsana Mall Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Pusat Latihan Operasi Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Bertam, Pulau Pinang berjaya membiakkan baka anjing berkenaan buat kali pertama di negara ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, anak anjing jantan jenis Labrado tempatan diberi nama Brave itu dilahirkan induknya, Lottie pada 5 April lalu.

“Seekor anjing K9 baka Labrador di bawah seliaan Pegawai Bomba Tuan Nelson Karupak, Lottie, sudah selamat melahirkan seekor anak anjing.

“Saya dengan ini menamakan anak anjing yang baru dilahirkan ini sebagai ‘Brave’ dengan harapan ia bakal menjadi wira berkaki empat yang berani dan gagah dalam menjalankan tugas penyelamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Karnival Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 di pekarangan Plaza Angsana Mall Johor Bahru di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad dan Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nadir.

Kor Ming berkata, kelahiran Brave mampu menjimatkan kos pembelian anjing berkenaan dari Birmingham, United Kingdom yang kebiasaannya menelan kos kira-kira RM150,000 seekor.

“Dulu unit K9 mendapat anjing dari tempat pusat pembiakan di Birmingham di mana anjing itu dibesarkan dan dilatih di sana, baru hantar balik ke tanah air kita.

“Sebab itu saya ada sasaran supaya pasukan bomba kita akan dapat membiak unit K9 sendiri sebagai baka tempatan.

“Wawasan saya satu hari nanti kita boleh eksport balik ke United Kingdom selain negara-negara ASEAN seperti Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan lain-lain,” katanya.

Tambah beliau, menyedari kepentingan Unit K9, kerajaan sebelum ini meluluskan peruntukan berjumlah RM2.4 juta bagi perolehan 16 ekor anjing pengesan baharu dari United Kingdom.

“Buat masa ini, JBPM hanya memiliki 34 ekor anjing pengesan, namun kita masih memerlukan 56 ekor lagi bagi mencapai kapasiti operasi yang optimum,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast