KUALA LUMPUR – Perkembangan mutakhir melibatkan kenyataan terbuka antara kerajaan dan institusi diraja perlu ditangani dengan lebih beradab bagi mengelakkan hakisan rasa hormat serta menggugat kestabilan hubungan dalam negara beraja berperlembagaan.
Naib Presiden Pas, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Malaysia dibina atas kerangka Raja Berperlembagaan dan prinsip “Kesetiaan kepada Raja dan Negara” dalam Rukun Negara merupakan asas penting kepada kestabilan negara.
“Sudah tentu setiap negeri mahu diberikan perhatian yang saksama demi kemajuan masing-masing dalam sebuah Persekutuan, perkara itu wajar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut menekankan bahawa dalam isu kemaslahatan negeri, sensitiviti masyarakat dan identiti negeri perlu diambil kira, termasuk dalam perkara berkaitan industri tertentu.
“Adat diisi janji dilabuh, baru teguh sendi negeri,” katanya lagi.
Mohd Amar berkata, beliau percaya tidak ada mana-mana negeri Melayu-Islam yang mahu dikenali sebagai hab industri penternakan babi berskala besar di rantau ini kerana ia melibatkan sensitiviti masyarakat setempat.
Beliau turut merujuk contoh Singapura yang telah menamatkan sepenuhnya industri penternakan babi sejak 1989 dan bergantung kepada sumber import dari luar negara.
Dalam pada itu, beliau melahirkan kebimbangan apabila pandangan institusi diraja mula diperdebatkan secara terbuka sehingga memerlukan kenyataan susulan bagi memperjelaskan pendirian.
“Budaya seperti ini tidak wajar dibiarkan dalam negara yang meletakkan institusi diraja sebagai payung perpaduan. Perbezaan pandangan sepatutnya diurus dengan penuh hikmah, bukan dijadikan polemik awam.
“Tegak rumah kerana sendi, rosak sendi rumah binasa,” ujarnya.
Mohd Amar berharap semua pihak memberi perhatian serius terhadap perkara itu kerana jika budaya menjawab secara terbuka terhadap pandangan institusi diraja terus dinormalisasikan, ia dikhuatiri akan menghakis semangat menghormati institusi tersebut dalam kalangan masyarakat. – MalaysiaGazette
















