KUALA LUMPUR – Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid mempersoalkan pendirian sesetengah pihak termasuk Majlis Peguam (Bar Council) berhubung desakan luar biasa untuk membawa semula kes tertentu melalui judicial review dan tekanan litigasi awam, khususnya dalam kes yang dikaitkan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sedangkan, ujar beliau, dalam banyak lagi kes lain yang turut melibatkan kepentingan awam, tidak semua menerima tahap perhatian dan tindakan yang sama.
Menurutnya, kuasa Peguam Negara dalam soal pendakwaan bukan perkara kecil, sebaliknya sebahagian daripada struktur perundangan negara yang diberikan melalui Perlembagaan dan perlu dihormati selagi dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.
Ujarnya, apabila setiap keputusan yang tidak memihak kepada naratif politik tertentu, ia terus dicabar melalui tekanan awam dan litigasi strategik dan ia mula terlihat seolah-olah ada usaha untuk `mengadili’ keputusan pendakwaan berdasarkan sentimen politik, bukan semata-mata prinsip undang-undang itu sendiri.
“Dalam negara demokrasi, kita berhak bertanya dan membahaskan sesuatu tindakan institusi apabila wujud persepsi ketidakseimbangan dalam pendekatan atau pendirian yang diambil.
“Apa yang menjadi persoalan hari ini bukan sekadar soal undang-undang semata-mata, tetapi soal persepsi awam terhadap konsistensi dan keutamaan tindakan sesetengah pihak termasuk Bar Council Malaysia dalam isu melibatkan pendakwaan berprofil tinggi,” katanya menerusi Facebook semalam.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk menambah, dalam demokrasi, semakan kehakiman sememangnya sebahagian daripada proses semak dan imbang.
Namun, ujarnya, persoalan yang timbul bukan sama ada judicial review itu salah atau tidak, tetapi mengapa sesetengah kes menjadi terlalu `penting’ untuk diperjuangkan, manakala banyak isu lain tidak menerima semangat yang sama.
“Mengapa apabila melibatkan tokoh tertentu, tekanan terhadap institusi pendakwaan menjadi begitu agresif?” soalnya.
Ujarnya, apabila tindakan sesebuah badan profesional dilihat terlalu selektif, ia akan terlihat sama ada perjuangan itu benar-benar atas nama keadilan, atau sebenarnya telah dipengaruhi oleh kecenderungan politik dan ideologi tertentu.
Sedangkan, tambah beliau, keadilan seharusnya tidak boleh dilihat bermusim dan prinsip tidak boleh dipilih mengikut nama individu.
Malah, tegasnya, institusi juga tidak boleh kehilangan neutralitinya hanya kerana kononnya ia adalah tekanan persepsi dan sentimen politik semasa.
“Sampai bila perundangan negara kita akan dijadikan instrumen untuk kepentingan pihak tertentu?” katanya. – MalaysiaGazette
















