Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mengkaji pengenalan klausa Option to Purchase (OTP) atau Pilihan Untuk Membeli di bawah cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Hartanah.

Ia sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh memperkukuh sektor hartanah negara serta mengelakkan projek perumahan sakit, lewat dan terbengkalai.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, perubahan dasar yang dicadangkan itu akan memberikan fleksibiliti yang lebih besar kepada pembeli dan pemaju untuk menarik diri sebelum menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA), sekali gus mengurangkan komitmen kewangan dan perundangan yang tidak perlu pada peringkat awal.

Menurutnya, langkah itu merupakan sebahagian daripada agenda Reformasi Perumahan MADANI yang bertujuan memodenkan kerangka kawal selia perumahan negara dan memastikan kelestarian industri untuk jangka panjang.

Tambah beliau, mekanisme OTP yang dicadangkan itu akan membolehkan pemaju menilai permintaan pasaran sebenar dan kebolehlaksanaan projek dengan lebih baik sebelum pembinaan diteruskan.

“Langkah ini dapat mengurangkan komitmen kewangan dan perundangan yang tidak perlu di peringkat awal, selain membolehkan pemaju menilai kebolehlaksanaan projek berdasarkan permintaan pembeli di lapangan.

“Secara tidak langsung, ia membantu mengelakkan situasi di mana pemaju berdepan kekangan kewangan sekiranya jualan tidak memberangsangkan ketika projek sedang dibina,” katanya ketika berucap pada Majlis StarProperty Awards 2026.

Beliau menambah, inisiatif itu secara proaktif dapat mengurangkan risiko projek perumahan sakit, lewat atau terbengkalai, selain membantu menangani isu unit hartanah yang tidak terjual akibat permintaan pembeli yang tidak mencukupi.

Pada masa sama, beliau turut berkongsi bahawa sektor hartanah negara mencatatkan prestasi memberangsagkan pada tahun lalu, dengan nilai transaksi melebihi RM240 bilion, tahap tertinggi dalam tempoh sedekad.

Ujarnya, ia sekali gus mencerminkan keyakinan pasaran yang kukuh susulan kestabilan politik dan keadaan ekonomi yang menguntungkan.

Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan petugas khas KPKT bagi projek perumahan sakit dan terbengkalai telah berjaya memulihkan lebih 1,500 projek sejak Disember 2022 dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) melebihi RM140 bilion, yang memberi manfaat kepada lebih 176,000 pembeli rumah di seluruh negara.

Selain reformasi perundangan, tambahnya, KPKT juga sedang mempercepat inisiatif pendigitalan dalam ekosistem perumahan melalui platform seperti e-SPA, TEDUH, dan Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS).

“Kami mempunyai satu matlamat yang jelas iaitu mencapai sasaran sifar projek sakit menjelang tahun 2030. Ini memerlukan usaha kolektif daripada semua pihak dalam ekosistem, termasuk penggiat industri,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan penyediaan perumahan berkualiti, mampan, dan mampu milik untuk rakyat Malaysia terus diperkukuh menerusi kerjasama erat antara sektor awam dan swasta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast