Mohd Ridhwan (dua kanan) dan pelajar menunjukkan al-Quran yang terselamat dalam kebakaran di Maahad Tahfiz Sains Al Insyirah di Taman Tampoi Indah, Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Keajaiban berlaku apabila lapan naskhah al-Quran terselamat dalam satu kebakaran di Maahad Tahfiz Sains Al Insyirah di Taman Tampoi Indah di sini bulan lalu.

Kebakaran di tingkat tiga bangunan itu berlaku pukul 4.30 pukul petang, 2 April lalu dan semasa kejadian terdapat 15 pelajar dan tiga tenaga pengajar berada di tingkat dua bagi mengikuti kelas pengajian al-Quran namun sempat menyelamatkan diri.

Secara keseluruhan terdapat 49 pelajar tiga ustaz dan dua ustazah, tingkat kedua dijadikan tempat belajar manakala tingkat tiga tempat penginapan mereka.

Kejadian tersebut segera mendapat perhatian Persatuan Pemuda, Puteri Malaysia Bersatu (Perimau Malaysia), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjadikan pelajar tahfiz berkenaan sebagai anak angkat.

Menurut Presidennya, Datuk Mohd Ridhwan Othman, semasa meninjau madrasah tersebut selepas kebakaran, semua peralatan yang ada hangus kecuali al-Quran terbabit yang kelihatan seperti ‘terpelihara’.

“Paling mengagumkan al-Quran yang terletak di tingkat tidak terbakar dan hanya basah akibat air akibat kerja pemadaman api pihak bomba. Ini Kuasa Allah SWT.

“Katil, tilam, bantal, beg, perabot , barangan elektrik dan peralatan lain semua musnah. Disebabkan insiden ini mereka tiada tempat tinggal lain dan sejak kejadian tinggal berhimpit di tingkat dua,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, sejak kebakaran itu mereka masih tidur dan meneruskan pelajaran di tingkat dua tetapi dalam keadaan kurang selesa dan serba kekurangan.

“Mereka berasa sedih kerana tempat tinggal musnah dan tempat mereka menghafal hilang dalam sekelip mata.

“Mereka duduk di tingkat dua dalam keadaan bangunan yang bocor dan basah. Jika hujan lebat ustaz akan bawa pelajar-pelajar ini ke rumah mudir yang serba kekurangan dan kurang selesa dengan jumlah yang ramai,” ujar beliau.

Menurutnya, keperluan mendesak ketika ini adalah mendapatkan dana untuk membaiki bumbung, pendawaiaan, tandas, paip dan beberapa peralatan belajar lain seperti kipas, meja dan kerusi.

Jelas beliau, ini termasuk 25 unit katil dua tingkat, 50 buah tilam selain bantal serta beg yang semuanya berharga RM5,000.

Sementara itu, Pengetua Maahad Tahfiz Sains Al Insyirah, Mohamad Halimi Kolan berkata, pelbagai barangan milik pelajar serta kemudahan musnah termasuk pakaian, perabot dan barangan elektrik.

“Dalam banyak-banyak barangan milik penghuni asrama kami yang merupakan anak yatim dan daif, hanya Al-Quran yang ditemukan dalam keadaan yang baik dan sempurna.

“Hanya Al Quran sahaja yang tinggal dengan baik dan sempurna dalam kebakaran ini, kalau kita tengok memang agak mustahil tapi inilah kebesaran Allah.

“Bagaimana kita bersyukur semua penghuni asrama dalam keadaan selamat apabila dapat menyelamatkan diri dengan bantuan guru-guru,” katanya.

Mohamad Halimi berkata, ruangan belajar berkenaan juga kini digunakan sebagai tempat tidur dan tempat makan selepas asrama pelajar musnah.

Menurutnya, situasi berkenaan menjejaskan keselesaan pelajar hingga tidak mampu meneruskan aktiviti pembelajaran seperti biasa.

Katanya, tambahan pula selepas kebakaran terdapat kebocoran pada bahagian berhampiran siling sehingga membasahi ruangan digunakan pelajar itu.

“Kami mengalami kerugian kira-kira RM200,000 akibat kejadian ini dan sehingga kini usaha membaik pulih bangunan tidak dapat dijalankan oleh pemilik atas faktor tertentu.

“Kami merancang bagi menyewa bangunan bersebelahan dan masih mencari dana bagi pengubahsuaian dan sebagainya supaya ia dapat digunakan bagi aktiviti pembelajaran,” katanya.

Malah pihaknya juga masih tidak dapat membaik pulih paip yang musnah dalam kebakaran serta terpaksa menggunakan paip sementara yang dipasang di ruangan belajar atau tidur pelajar.

“Kami masih mengumpul dana bagi menggantikan kemudahan yang musnah serta mengalu-alukan sumbangan barangan daripada orang ramai,” katanya.

Premis itu beroperasi sejak 2011 dan mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 551342105286 atas nama Persatuan Insani Darul Takzim.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast