Choon Aik (tengah) merasmikan Seminar Pembiayaan dan Pematuhan Syarikat untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) anjuran bersama Malaysia Progressive Entrepreneurs Chamber of Commerce dan Junior Chamber International Penang di Komtar, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menubuhkan jawatankuasa penyelarasan rentas jabatan bagi mempercepat pelaksanaan dasar serta menyelaras sumber secara lebih berkesan dalam usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat negeri, Goh Choon Aik berkata, langkah itu penting bagi membantu PKS terus berkembang secara mampan dalam landskap ekonomi global yang semakin kompleks dan tidak menentu.

Menurut beliau, sejak menerajui portfolio perdagangan, pelbagai dasar mesra perniagaan turut diperkenalkan bagi meningkatkan daya saing keseluruhan PKS di negeri ini.

“Dalam keadaan ekonomi global yang semakin mencabar dan tidak menentu, kerjasama erat antara kerajaan dan sektor perniagaan amat penting bagi mewujudkan peluang baharu di sebalik cabaran ekonomi semasa.

“Justeru, penubuhan jawatankuasa penyelarasan rentas jabatan amat penting dalam membantu PKS memperkukuh ekosistem perniagaan sambil memastikan persekitaran ekonomi yang lebih berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pembiayaan dan Pematuhan Syarikat untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) anjuran bersama Malaysia Progressive Entrepreneurs Chamber of Commerce dan Junior Chamber International Penang di Komtar di sini.

Hadir sama, ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze; Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Lim Lip Sing serta Presiden Kebangsaan MPE, William Khoo.

Sementara itu, William Khoo berkata, MPE komited memperkukuh jaringan perniagaan, memudahkan padanan sumber serta memacu pertumbuhan mampan PKS dalam persekitaran ekonomi yang sentiasa berubah.

“Gabungan penerangan dasar kerajaan dan penyelesaian pembiayaan yang diketengahkan dalam seminar itu amat bertepatan dengan keperluan semasa perusahaan bagi meningkatkan daya saing dan kemampuan menyesuaikan diri dalam landskap ekonomi global yang mencabar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast