Kon Yeow meninjau tapak projek bagi melihat kemajuan yang telah capai 35 peratus berhampiran Empangan Mengkuang di sini,hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Taman Mengkuang yang bakal memperkukuh sistem bekalan air di Seberang Perai Tengah (SPT) kini mencatat kemajuan lebih 35 peratus.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, projek bernilai RM249 juta yang dimulakan pada 19 Mei tahun lalu itu berjalan mengikut jadual dan dijangka siap pada November ini.

Jelas beliau, apabila siap kelak, Empangan Mengkuang akan berfungsi sebagai empangan dwiguna yang mampu menghasilkan bekalan air mencukupi untuk kawasan SPT selain membolehkan air terawat disalurkan ke Seberang Perai Selatan (SPS) sekiranya diperlukan.

Katanya, dua saluran paip utama turut dipasang bagi menghubungkan kemudahan berkenaan ke Bukit Mertajam dan fasiliti berkaitan untuk tujuan penyaluran bekalan air.

“Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) yang bertujuan memanfaatkan sepenuhnya sumber air mentah sedia ada di Pulau Pinang bagi meningkatkan jaminan bekalan air negeri.

“Menerusi pelan sama, beberapa projek lain turut dilaksanakan termasuk pembinaan loji rawatan air Sungai Kerian di SPS serta projek melibatkan Sungai Perai dan Sungai Muda yang masing-masing mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga 114 juta liter sehari (114 MLD).

“Menjelang tahun 2030, kita menjangkakan kapasiti bekalan air tambahan sebanyak 600 juta liter sehari dapat diwujudkan bagi memenuhi keperluan harian negeri sehingga projek pemindahan air Perak-Pulau Pinang disiapkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek berhampiran Empangan Mengkuang di sini, hari ini.

Chow Kon Yeow.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, daerah SPT merekodkan penggunaan air tertinggi di Pulau Pinang berdasarkan data tahun 2025 iaitu sekitar 206 juta liter sehari, bersamaan 23.8 peratus daripada purata keseluruhan penggunaan air negeri sebanyak 865 juta liter sehari.

Katanya, peningkatan pembangunan hartanah, pelaburan industri dan projek perumahan baharu di SPT dijangka terus meningkatkan permintaan bekalan air di daerah itu menjelang tahun 2032.

“Sehubungan itu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) merancang beberapa langkah bagi mengoptimumkan sistem bekalan air di kawasan berkenaan.

“Status Empangan Mengkuang sebagai empangan strategik negeri akan terus dipantau dengan rapi supaya peranan empangan itu sebagai sumber simpanan air kecemasan utama Pulau Pinang tidak terjejas.

ARTIKEL BERKAITAN

LRA Taman Mengkuang bernilai RM250j siap November 2026

“Pengoperasian Stesen Pam Lahar Yooi yang dijangka bermula pada 2028 dan berupaya menyalurkan sehingga 440 juta liter air mentah sehari akan membantu mempercepat proses simpanan air Empangan Mengkuang ketika musim hujan serta mengukuhkan lagi fungsi empangan dwiguna itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast