Duta “Ask Me” dengan vest merah tampil mesra dan bersedia membantu pelanggan.

KUALA LUMPUR – Rapid KL memperkenalkan inisiatif bantuan pelanggan dikenali sebagai “Ask Me” (Tanya Saya) menerusi Hab Bas Pasar Seni bagi memperkukuh pengalaman perjalanan pengguna pengangkutan awam menerusi penyampaian maklumat yang lebih cepat, jelas dan mudah diakses.

Inisiatif tersebut diperkenalkan untuk membantu penumpang mendapatkan bantuan berkaitan perjalanan dengan lebih mudah, khususnya di hab bas yang mempunyai aliran pengguna tinggi serta pelbagai sambungan laluan.

Sebagai sebahagian daripada pelaksanaannya, podium khas “Ask Me” ditempatkan di hab berkenaan bagi memudahkan ia dikenalpasti oleh penumpang.

Melalui inisiatif itu, petugas barisan hadapan Rapid KL akan menyalurkan bantuan dan maklumat perjalanan dengan lebih pantas serta mesra pelanggan.

Antara maklumat yang boleh diperoleh penumpang termasuk laluan bas, lokasi hentian, pertukaran laluan, perancangan perjalanan serta produk pas perjalanan bagi membantu melancarkan perjalanan harian mereka.

Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada Program Service Ambassador 2.0 yang menampilkan Customer Service Assistant (CSA) dan Traffic Coordinator (TC) sebagai petugas utama di kawasan tumpuan serta hab pengangkutan utama.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria berkata, pelaksanaan “Ask Me” mencerminkan komitmen berterusan Rapid KL dalam menjadikan pengangkutan awam lebih responsif dan diyakini pengguna.

“Kami mahu memastikan penumpang dapat memperoleh bantuan dengan lebih cepat dan mudah, khususnya di lokasi yang menjadi titik pertukaran utama perjalanan harian mereka.

“Kehadiran petugas yang mudah dikenalpasti bukan sahaja membantu mengurangkan kekeliruan, malah meningkatkan keyakinan pengguna ketika menggunakan pengangkutan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hab Bas Pasar Seni dipilih sebagai lokasi pertama pelaksanaan memandangkan ia merupakan antara hab bas utama di Lembah Klang yang mengendalikan 14 laluan bas Rapid KL dengan purata lebih 6,000 penumpang setiap hari.

Rapid KL memaklumkan, pelaksanaan “Ask Me” akan diperluaskan secara berperingkat ke lokasi lain mengikut keperluan operasi dan kesesuaian lokasi termasuk di Terminal Bas Weld Quay bagi perkhidmatan Rapid Penang.

Usaha itu selaras dengan komitmen berterusan Rapid KL untuk meningkatkan pengalaman perjalanan pengguna melalui penyampaian maklumat yang lebih responsif dan berteraskan keperluan penumpang, sekali gus menyokong aspirasi menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama rakyat. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast