KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya wujud ‘deal’ tersembunyi berhubung kemasukan semula Khairy Jamaluddin ke dalam parti itu disangkal keras oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh.
Menurut beliau, sebarang spekulasi mengenai rundingan sulit atau perjanjian politik bagi membawa pulang bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu ke pangkuan parti tidak berasas sama sekali.
Beliau menegaskan bahawa pintu parti sentiasa terbuka kepada mana-mana individu yang merasakan perjuangan UMNO masih relevan dan dekat di hati mereka.
“Tiada ada ‘deal‘ bawah meja ke apa-apa. Khairy masuk semula ke dalam UMNO atas dasar Rumah Bangsa.
“Sesiapa yang merasakan bahawa perjuangan UMNO adalah perjuangan mereka kita alu-alukan kemasukan semula, jadi tidak ada deal,” katanya dalam sidang media selepas program Rundingan Meja Bulat Nasional (Rimbun 2.0) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Program anjuran Pemuda UMNO itu dihadiri Khairy sebagai ahli panel selain bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim; bekas Pengarah Urusan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalid Mohd Noh serta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Dr Muhamad Akmal turut menjelaskan bahawa setakat ini tiada sebarang perbincangan khusus berkaitan peranan atau kedudukan Khairy sekiranya kembali menyertai parti itu.
Menurutnya, bekas Ahli Parlimen Rembau itu sendiri masih belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
“KJ pun tidak tahu sama ada dia nak bertanding atau tidak pada PRU-16. KJ pun sudah keluarkan kenyataan dia masuk atas rasa sayangkan UMNO dan sebagainya,” katanya lagi.
Kenyataan tersebut dilihat sebagai usaha meredakan spekulasi yang semakin hangat diperkatakan dalam kalangan pemerhati politik sejak kebelakangan ini.
“Setakat ini tidak ada deal,” tegas Akmal, menutup spekulasi yang terus berlegar dalam arena politik tanah air.
Khairy sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa beliau diamanahkan untuk menguruskan beberapa perkara oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Khairy bagaimanapun berkata, perkara yang dimaksudkan terlalu awal untuk dikongsi secara umum.
Pada 17 April lalu, KJ antara bekas ahli UMNO yang diterima masuk semula ke dalam UMNO menerusi gagasan Rumah Bangsa.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung di Melaka.
Selain KJ, nama pemohon yang diputuskan oleh MKT UMNO termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Tan Sri Syed Hamid Albar. – MalaysiaGazette
















