Seramai 33 mangsa banjir terdiri daripada 10 keluarga yang terjejas akibat banjir ditempatkan di PPS Masjid Al-Muhtadin, Sungai Seluang, Lunas, Kedah.

KULIM – Seramai 33 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Al-Muhtadin, Sungai Seluang, Lunas di sini, selepas kediaman mereka dilanda banjir malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, PPS tersebut dibuka pada jam 1 pagi tadi bagi menempatkan 10 keluarga yang terjejas dari Kampung Sungai Seluang Bawah dan Kampung Sungai Seluang Seberang.

“Seramai 33 mangsa dipindahkan membabitkan 13 lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki, tujuh kanak-kanak perempuan dan seorang bayi perempuan.

“Turut direkodkan ialah empat warga emas lelaki, tiga warga emas perempuan serta seorang orang kurang upaya (OKU) perempuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kejadian dipercayai berpunca daripada hujan berterusan selama kira-kira satu jam setengah dengan intensiti tinggi serta kadar bacaan hujan antara 50 hingga 60 milimeter sehingga menyebabkan limpahan air sungai ke kawasan rendah.

“Mangsa dilaporkan bergerak sendiri ke PPS pada jam 10.45 malam tadi air masih bertakung di dalam rumah selain tiada tempat untuk tidur.

“Beberapa kawasan lain turut terjejas akibat banjir namun air surut selepas kira-kira sejam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast