KUALA LUMPUR – Dasar terbaharu kerajaan terhadap kenderaan elektrik (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU) dilihat bakal menyaksikan majoriti EV mampu milik seperti BYD Dolphin, MG4 dan ORA Good Cat disingkirkan daripada pasaran Malaysia.
Jawatankuasa Eksekutif Pusat Parti MUDA, Shah Fariq Aizal berkata, dasar baharu yang meletakkan syarat nilai minimum kos, insurans dan pengangkutan (CIF) sebanyak RM200,000 serta kuasa minimum 180kW menyebabkan model EV CBU mampu milik tidak lagi boleh berada dalam pasaran Malaysia bermula Julai ini.
Katanya, dasar itu agak bertentangan dengan kenyataan kerajaan yang sering mengeluh terpaksa menanggung beban subsidi bahan api sekitar RM4 bilion sebulan.
“Namun dalam masa sama (kerajaan) menyekat akses rakyat kepada alternatif petrol yang lebih murah.
“Dalam keadaan harga diesel dan RON97 kini sekitar RM5 seliter, tindakan menyekat akses kepada EV murah adalah satu dasar yang menekan golongan muda dan kelas pertengahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, data pendaftaran kenderaan Q1 2026 menunjukkan lonjakan EV sebanyak 113.7 peratus, membuktikan rakyat mahukan perubahan tetapi kerajaan pula seolah-olah bergerak ke belakang dengan menjadikan EV sebagai simbol kemewahan.
Tegasnya, dasar automotif negara sepatutnya berasaskan persaingan sihat dan kemampuan rakyat dan bukan dasar yang akhirnya mengehadkan pilihan rakyat.
Beliau meminta kerajaan melihat perkembangan EV di negara jiran yang mana akses kepada kenderaan teknologi hijau diperluas kepada rakyat menerusi pelbagai insentif.
“Malaysia tidak boleh menjadi negara di mana hanya golongan kaya mampu menikmati teknologi hijau dan pengangkutan masa depan,” ujarnya lagi.
Dua hari lalu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengeluarkan kenyataan media rasmi berhubung perubahan terhadap polisi EV yang diimport sepenuhnya selepas berakhirnya tempoh pengecualian cukai selama empat tahun di bawah skim francais Approved Permit (AP) pada 31 Disember 2025.
Menurut kementerian tersebut bermula 1 Julai 2026, semua pengimportan EV CBU tertakluk kepada dua syarat utama, iaitu mana-mana EV yang diimport mesti mempunyai nilai minimum kos, insurans dan pengangkutan (CIF) yang diisytiharkan sebanyak RM200,000, dan output kuasa minimum 180 kW (bersamaan dengan 245 PS atau 241 hp).
Kenyataan itu turut memberitahu bahawa pelarasan ini telah dimaklumkan kepada syarikat induk francais AP melalui sesi penglibatan yang diadakan pada 30 April tahun ini.
Bagaimanapun, dengan mengambil kira bahawa sesetengah syarikat masih mempunyai stok kenderaan yang tinggal, termasuk stok sedia ada, yang berada di pelabuhan dan dalam transit, ia akan membenarkan stok tersebut dijual mengikut peraturan dalam tempoh pengecualian khas sehingga stok tersebut habis. -MalaysiaGazette















