KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaksanakan penambahbaikan bagi memperkukuh kesejahteraan persaraan ahli, termasuk pengenalan i-Legasi, penjenamaan semula kaedah bayaran bulanan bagi pengeluaran umur 55/60 tahun sebagai i-Emas, dan pelancaran Kalkulator Matlamat Persaraan.
Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan KWSP dalam menyokong ahli untuk mengumpul simpanan, mengurus dan memastikan kelangsungan pendapatan persaraan, serta memperkukuh jaminan kewangan merentas generasi.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, seiring dengan peningkatan jangka hayat, perancangan persaraan harus melangkaui fasa pengumpulan simpanan dan memberi tumpuan kepada kecukupan dan kemampanan.
Katanya, KWSP memperluas sokongan kepada ahli bukan sahaja untuk menyimpan, tetapi juga untuk membuat keputusan yang lebih baik bagi memastikan simpanan mereka berkekalan sepanjang hayat serta meninggalkan legasi buat insan tersayang.
KWSP berkata, kemudahan i-Legasi membolehkan ahli memindahkan sebahagian simpanan KWSP kepada akaun KWSP ahli keluarga terdekat setelah mencapai umur pengeluaran penuh.
Jumlah pemindahan adalah selaras dengan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) 1, dengan hanya baki simpanan melebihi tahap simpanan mencukupi yang layak untuk dipindahkan.
Pemindahan ini dibuat daripada simpanan yang boleh dikeluarkan dan akan dikreditkan ke dalam akaun persaraan penerima, yang bertujuan untuk simpanan jangka panjang.
Pemindahan dibuat daripada Akaun 55 pemberi, atau Akaun Emas bagi ahli berumur 60 tahun ke atas, ke Akaun Persaraan penerima, atau Akaun Emas bagi penerima berumur 55 hingga 59 tahun, bagi memastikan simpanan terus terpelihara untuk persaraan.
Kemudahan itu terbuka kepada ahli KWSP berumur 55 atau 60 tahun ke atas yang mempunyai simpanan melebihi tahap simpanan mencukupi dan boleh memindahkan simpanan kepada lebih daripada seorang ahli keluarga selagi baki simpanan kekal mencukupi.
Penerima pula terhad kepada pasangan dan anak-anak, berumur di bawah umur persaraan minimum kebangsaan 60 tahun, ahli KWSP berstatus warganegara Malaysia atau penduduk tetap serta berumur di bawah 60 tahun serta tiada had ke atas jumlah yang boleh diterima.
i-Emas pula kemudahan kaedah bayaran bulanan melalui pengeluaran umur 55/60 tahun sedia ada yang kini dijenamakan semula sebagai i-Emas, bagi menekankan kepentingan pengurusan simpanan persaraan sebagai sumber pendapatan yang mampan.
Berbanding dengan pengeluaran simpanan secara penuh apabila mencapai usia 55/60 tahun, ahli boleh memilih kaedah bayaran bulanan secara automatik melalui i-Emas, sekali gus membolehkan baki simpanan mereka terus menerima dividen tahunan.
“Lebih 21,000 ahli telah memilih pengeluaran bulanan apabila mencapai umur 55/60 tahun, mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap keperluan pendapatan bulanan yang berstruktur selepas persaraan.
“i-Emas menyediakan fleksibiliti untuk mengurus keperluan harian di samping melindungi ahli daripada risiko kewangan seperti penipuan dan pengurangan simpanan secara mendadak, serta memastikan aliran pendapatan yang stabil sepanjang tempoh persaraan,” kata Ahmad Zulqarnain.
KWSP turut memperkenalkan Kalkulator Matlamat Persaraan menerusi aplikasi i-Akaun bagi membantu ahli merancang persaraan secara lebih efektif.
Alat digital itu membantu ahli menganggarkan keperluan simpanan masa depan berdasarkan gaya hidup dan unjuran perbelanjaan selain mengenal pasti jurang simpanan serta tahap persediaan kewangan persaraan masing-masing.
Menurut KWSP, ketiga-tiga inisiatif itu mencerminkan evolusi sistem persaraan yang lebih holistik bagi membantu ahli membina simpanan, mengurus pendapatan secara mampan serta memperkukuh daya tahan kewangan generasi seterusnya.
Maklumat lanjut mengenai i-Legasi, i-Emas dan Kalkulator Matlamat Persaraan boleh diperoleh menerusi laman rasmi KWSP atau aplikasi i-Akaun. – MalaysiaGazette















