Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar (tengah) semasa sidang media Himpunan Daulat Tuanku 2026 susulan beberapa siri tindakan dan kenyataan pemimpin DAP yang didakwa tidak menghormati kedaulatan Institusi Diraja di Pejabat Pemuda PAS Selangor, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 11 Mei 2026.
SHAH ALAM – Sekretariat Himpunan Daulat Tuanku akan menganjurkan Himpunan Daulat Tuanku 2026 di Pintu 1, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, jam 5 petang, 16 Mei ini.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, perhimpunan aman itu bagi menyatakan sokongan kepad Institusi Diraja Selangor.

“Kira-kira 500 peserta akan bersama dalam Himpunan Daulat Tuanku termasuk badan bukan kerajaan dan individu masyarakat sivil.

“Kami menggalakkan para peserta memakai pakaian berwarna kuning sebagai simbolik kesetiaan kepada institusi diraja,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar (tengah) bergambar selepas selesai sidang media Himpunan Daulat Tuanku 2026 susulan beberapa siri tindakan dan kenyataan pemimpin DAP yang didakwa tidak menghormati kedaulatan Institusi Diraja di Pejabat Pemuda PAS Selangor, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 11 Mei 2026.

Mohamed Sukri berkata, pihaknya juga akan menyerahkan satu memorandum kepada pihak Istana Bukit Kayangan sebagai tanda taat setia rakyat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

“Memorandum ini untuk menzahirkan sokongan kami terhadap institusi diraja. Usaha ini bagi menyatakan kepentingan mempertahankan agama Islam, hak orang Melayu serta kedaulatan institusi diraja di Selangor,” katanya.

Menurut Mohamed Sukri, pihaknya akan memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia mengenai perhimpunan aman yang aman diadakan pada hujung minggu ini.

“Pemakluman dibuat bagi mendapatkan panduan berkaitan penganjuran himpunan tersebut mengikut lunas undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, katanya, Pemuda Pas Selangor telah mengarahkan seluruh sayap pemuda di peringkat kawasan untuk membuat laporan polis berhubung isu didakwa melibatkan tindakan tidak menghormati institusi diraja oleh pihak tertentu.

“Tindakan tersebut tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara yang menjadi asas kepada keharmonian negara,” katanya.

Sehubungan itu, katanya lagi, orang ramai yang menyokong institusi diraja dan kepentingan Selangor dijemput hadir ke perhimpunan tersebut.

“Pihak penganjur turut mengalu-alukan kehadiran mana-mana pemimpin dan ahli politik yang berkongsi pendirian sama untuk turut serta dalam solidariti berkenaan.

“Himpunan tersebut akan berlangsung secara aman dan mematuhi undang-undang sedia ada,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast