JOHOR BAHRU – Kerjasama kerajaan Persekutuan dan organisasi usahawan di Johor perlu diperlukuh bagi memperkasa ekosistem keusahawanan bumiputera.
Presiden Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Negeri Johor (Dewan Teraju), Datuk Ismail Karim berkata, ini bagi merangka pendekatan yang lebih progresif, inklusif dan mampan
Jelasnya, perkara tersebut disuarakan dalam diskusi strategik bersama-sama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin di Hotel Opero di sini.
“Pelbagai pandangan, idea serta cadangan konstruktif telah diketengahkan bagi memastikan agenda pembangunan usahawan dapat dilaksanakan secara lebih efektif dan berimpak tinggi.
“Dewan Teraju percaya bahawa sinergi erat antara pihak kementerian dan pemain industri usahawan negeri merupakan pemangkin penting dalam memperkukuh daya saing ekonomi Bumiputera.
“Ini juga membuka lebih banyak peluang pertumbuhan kepada usahawan tempatan selaras dengan aspirasi Maju Johor 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sesi tersebut turut dihadiri sebahagian besar barisan Jawatankuasa Dewan Teraju Johor yang baharu dipilih menerusi Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-3 yang berlangsung beberapa jam sebelumnya.
Katanya, kehadiran kepimpinan baharu itu mencerminkan iltizam, kesepaduan serta komitmen berterusan dalam memperkukuh peranan Dewan Teraju sebagai platform utama pemerkasaan usahawan dan peniaga Bumiputera di negeri Johor.
“Pertemuan tersebut disifatkan sebagai satu platform strategik yang mampu memberikan nilai tambah signifikan kepada pelan tindakan dan hala tuju Dewan Teraju pada masa akan datang,” katanya.- MalaysiaGazette
Ismail dan Mohamad merakam kenangan selepas pertemuan dengan barisan Dewan Teraju di Johor Bahru.















