Sultan Ibrahim dan Tunku Mahkota Ismail mencemar duli merakam kenangan bersama-sama Zahid serta kepimpinan UMNO di Istana Besar Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Istana Besar Johor di sini pagi tadi tidak melibatkan perbincangan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Perdana Menteri berkata, menerusi pertemuan tersebut hanya membincangkan mengenai sambutan ulang tahun UMNO yang ke-80 yang diadakan di sini hari ini.

Begitu juga dalam mesyuarat Majllis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diadakan hari ini tidak menyentu mengenai PRN Johor.

Ahmad Zahid secara berseloroh berkata, PRN Johor tidak akan diadakan esok.

“Agong…okey saya bertemu tetapi tidak sentuh langsung mengenai perkara itu. Banyak isu-isu nasional yang besar tetapi cara seriusnya saya ingin menyatakan bahawa ini adalah merupakan hanya mesyuarat biasa.

“Saya akan berbincang dengan yang amat berhormat Menteri Besar setelah perkenan daripada Tuanku berdua,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Ibu Pejabat UMNO Johor, Jalan Yahya Awal di sini hari ini

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan barisan tertinggi kepimpinan parti tersebut.

Mengenai pertemuan dengan Tunku Ismail, beliau berkata, ia merupakan sangat signifikan sempena ulang tahun ke-80 UMNO yang diadakan di Johor iaitu tempat kelahiran parti tersebut.

Katanya, Tunku Ismail mencemar duli berangkat dan sudi merakamkan kenangan bersama-sama kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Kita tahu bahawa penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 telah dilakukan di Istana Besar Johor, Johor Bahru dan pada ketika itu sesi fotografi yang sama juga telah diadakan. Ini bukan hanya sekadar nostalgia tetapi merupakan sesuatu yang amat dihargai oleh kepimpinan UMNO di semua peringkat

“Tentunya usaha yang telah dilakukan oleh ramai-ramai Menteri Besar Johor selaku Pengurusi BN dan Pengurusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor untuk kita turut mengadakan majlis doa selamat sempena ulang tahun ke-80 UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, beliau amat menghargai apa juga pengumuman dibuat Menteri Besar Johor dalam ucapan di Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini yang amat dihargai kepimpinan UMNO Malaysia.

“Kita juga menghargai pengumuman-pengumuman yang telah dibuat ketika ucapan Belanjawan 2026. Ini merupakan wow faktor untuk rakyat negeri Johor keseluruhannya tanpa mengira kumpulan umum, kaum dan agama.

Ahmad Zahid berharap rakyat Johor secara keseluruhan akan menghargai sumbangan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kerana di bawah pentadbirannya pendapatan negeri bertambah.

“Tentunya pengagihan telah dibuat secara seadil-adilnya kepada semua kumpulan dan golongan masyarakat di negeri Johor dan mudah-mudahan ianya akan terus memberikan kemakmuran kepada rakyat negeri Johor keseluruhannya,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Zahid, pemimpin UMNO, Exco kerajaan Johor hadir ke Istana Besar Johor

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast