KUALA LUMPUR – Keputusan Kerajaan meningkatkan peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) daripada RM100 juta kepada RM150 juta disambut baik pelbagai pertubuhan masyarakat India yang menyifatkannya sebagai langkah signifikan memperkasa komuniti berkenaan.
Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Reformasi Kaum India Daerah Baling, S. Chandar Chandru berkata, peningkatan peruntukan itu membuktikan komitmen berterusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan memastikan kebajikan dan pembangunan masyarakat India terus diberi perhatian.
“Langkah ini memberi keyakinan bahawa kerajaan benar-benar serius dalam memperkasa masyarakat India khususnya dalam aspek pendidikan, ekonomi dan pembangunan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.
Setiausaha Persatuan Pembangunan Insan Negeri Sembilan, Daniel Selvarayar pula menyifatkan tambahan dana itu sebagai langkah progresif yang mampu memperkukuh pembangunan modal insan, latihan kemahiran serta keusahawanan dalam kalangan generasi muda India.
“Kami percaya peruntukan ini akan membuka lebih banyak peluang kepada komuniti India untuk meningkatkan potensi dan taraf hidup mereka,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Kesihatan Bersama Rakyat Malaysia, Kartik Beleyapan berkata, keputusan kerajaan menaikkan peruntukan MITRA mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan pembangunan inklusif dinikmati semua lapisan masyarakat.
“Pertambahan peruntukan ini memberi harapan baharu kepada masyarakat India, khususnya golongan yang memerlukan sokongan untuk membina masa depan lebih baik,” ujarnya.
Menurutnya, langkah tersebut juga dilihat mampu merapatkan jurang sosioekonomi melalui pelbagai program pembangunan komuniti yang lebih menyeluruh.
Tambahan RM50 juta itu dijangka memberi manfaat besar kepada inisiatif berkaitan pendidikan, pembangunan modal insan, latihan kemahiran, keusahawanan serta kebajikan masyarakat India di seluruh negara. – MalaysiaGazette
















