KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan AM (PGA) Briged Tengah berjaya membanteras pelbagai cubaan menyeludup migran dengan menahan seramai 355 pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Selangor dan Johor sejak 1 Januari lalu.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, operasi menerusi Ops Taring Nyah 1 itu bertujuan memperkukuhkan tahap kawalan keselamatan dan mengekang kemasukan migrain secara lebih efektik.
“Bermula 1 Januari hingga 11 Mei 2026, Briged Tengah PGA telah merekodkan sebanyak 38 serbuan yang membawa kepada 55 kes dengan menahan 335 migran terdiri daripada 237 lelaki, 96 perempuan dan dua kanak-kanak lelaki yang kesemuanya warga asing.
“Kita turut menahan 37 individu disyaki berperanan sebagai tekong darat dan tekong laut terdiri daripada lima lelaki tempatan, 29 lelaki dan dua wanita warga Indonesia serta seorang lelaki warga Myanmar.
“Dalam serbuan itu, turut merampas 20 kenderaan, tiga bot dan 57 unit telefon bimbit serta lain-lain rampasan melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM1.6 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hakemal, kesemua tangkapan dan rampasan Op Taring Nyah 1 itu akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Beliau turut memaklumkan, pihaknya telah menjalankan 159 serbuan bagi tempoh 1 Januari hingga hari ini meliputi Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Smebilan, Melaka dan Johor.
“Hasilnya, seramai 551 individu telah ditahan dengan pelbagai jensi rampasan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM242 juta.
“Pihak polis menerusi PGA khususnya akan terus menjalankan tugas bagi menjaga keselamatan negara serta ketenteraman awam dengan tanggungjawab,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















